Luna Maya nampaknya akur - masa bukan lagi memihak kepadanya seperti pernah dinikmati suatu ketika dulu.

Selepas 12 tahun berlalu sejak dia muncul di layar perak untuk kali pertama, kini dunia hiburan dipenuhi ramai muka baru.

Justeru selebriti kelahiran Denpasar di Bali pada 32 tahun lalu itu kini menumpukan perhatian kepada perniagaannya serta membangunkan portal hiburan.

"Sekarang saya memberi fokus kepada perniagaan. Saya mahu wang bekerja untuk saya, bukan saya yang bekerja untuk wang,: katanya dilaporan portal kapanlagi.com hari ini.

Luna Maya mula menceburi bidang lakonan pada 12 tahun lalu melalui filem pertamanya 30 Hari Mencari Cinta.

Tak boleh takut

Sejak itu dia sering menjadi pilihan penerbit dan pengarah filem di Indonesia.

Namun namanya menjadi paling 'panas' ekoran klip video atas ranjangnya tersebar pada 2013.

Insiden itu kemudian membawa kepada perpisahan Luna Maya dengan kekasihnya Ariel.

Ariel, 34, kini menjalin hubungan romantis dengan aktres Sophia Latjuba, 45.

Kata Luna Maya selepas menceburi bidang perniagaan sepenuh masa barulah dia memahami kerumitan yang dialami dalam dunia berkenaan.

"Kalau dulu saya cuma melabur, kini saya terbabit sepenuh masa. Rasa seperti mengikuti kuliah kerana banyak ilmu baru dipelajari dari semasa ke semasa," katanya.

Bekas model itu juga mengakui operasi perniagaannya itu adalah sebagai persediaan menghadapi masa depan.

"Populariti memang sudah menurun, tapi saya tak boleh takut. Hidup memang begini," katanya.