Jennifer sudah lama tidak 'disentuh lelaki'
Hidup sendirian selama berbulan-bulan dan mungkin sudah terlupa bagaimana sentuhan seorang lelaki - itu pengakuan Jennifer Lawrence.
Kata pemenang anugerah Oscar itu, dia berasa dirinya tidak cukup bertuah dalam percintaan.
Sebelum ini Jennifer pernah bercinta dengan Nicholas Hoult dan Chris Martin (gambar) namun kedua-duanya berakhir dengan kekecewaan.
"Sudah agak lama saya tidak merasai sentuhan seorang lelaki. Ia memang menyedihkan," katanya separa bergurau.
Jennifer, 25, ditemui media ketika sesi tayangan perdana A Beautiful Planet - sebuah dokumentari mengenai Bumi yang dilihat dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa.
Kekasih terakhir Jennifer sebelum ini ialah penyanyi kumpulan Coldplay. Bagaimanapun dia dan Martin, 39, berpisah tahun lalu selepas hubungan mereka mengalami naik turun berpanjangan.
Sebelum itu pacar Jennifer ialah Hoult, 26, yang pernah bersama-samanya membintangi filem X-Men.
Ditanya mengenai lelaki mengikut cita rasanya Jennifer berkata tiada syarat khusus untuk itu.
"Jika saya kenang bekas teman lelaki saya, mereka tidak terbandingkan. Setiap seorang mempunyai kelebihan sendiri," katanya.
Jennifer juga percaya kejayaannya dalam dunia lakonan serta keyakinan diri secara tidak langsung menjadi faktor ramai lelaki 'tidak berani' mendekatinya.
"Ramai orang melihat saya sebagai ancaman. Sebenarnya tiada sebab untuk mereka berasa takut," katanya.
Jennifer dianugerahi pelakon wanita terbaik Oscar melalui filem Silver Linings Playbook pada 2012. Selain X-Men dia juga dikenali melalui siri filem Hunger Games.

