Konflik Gafim, Finas jadi di luar kawalan
Di sebalik kemelut hubungan antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), ada pengajaran yang boleh dijadikan iktibar oleh penggiat seni tanah air.
Timbalan Pengerusi Finas Datuk Yusof Haslam berkata, daripada insiden itu semua pihak perlu menyedari pendekatan terbaik untuk menangani sebarang masalah adalah melalui perbincangan.
“Isu surat Presiden Gafim, Datuk Jurey Latiff Rosli (gambar) kepada seorang menteri baru-baru ini dianggap sudah selesai.
“Dalam kita tidak sedari, isu sebegitu sebenarnya memberi pengajaran buat seniman tanah air.
“Seandainya timbul lagi perkara begini di masa depan, haruslah setiap perkara itu dibawa berbincang terlebih dahulu untuk mencari jalan penyelesaian," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui selepas majlis Anugerah Bintang Popular BH di Putrajaya malam tadi.
Minggu lalu ramai seniman menyatakan rasa tidak puas hati masing-masing sambil memberi sokongan kepada Ketua Finas Datuk Kamil Othman.
Melalui kempen #KamiSokongKamil di media sosial, ramai seniman beranggapan Kamil perlu dikekalkan jawatannya di Finas kerana berjaya membawa banyak perubahan positif.
Undang persepsi negatif
Antara selebriti yang merancakkan trending #KamiSokongKamil di media sosial ialah Nam Ron, Beto Kusyairy, Bront Palarae, Afdlin Shauki, Zaharil Adzim, Sharifah Amani dan Susan Lankaster.
Latar kepada isu itu ialah tindakan Jurey menghantar surat kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Surat bertarikh 8 Mac itu menyatakan rasa tidak puas hati Gafim terhadap Kamil dan cara Finas dikendalikan.
Dalam suratnya Jurey dilaporkan menggesa perubahan dibuat dalam pentadbiran Finas, selain menegur ketua pengarahnya.
Tindakan Jurey itu mendorong beberapa badan seperti Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia (Profima), Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM) dan Persatuan Sinematografer (MYSC) menarik diri daripada Gafim.
Bagaimanapun kedua-dua pihak kemudian bertemu dan menyelesaikan salah faham itu dengan baik.
Yusof berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati perlu mengelakkan tidakan menghantar surat sebegitu kerana ia hanya mengundang pelbagai persepsi tidak sihat.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia sebelum ini turut bertindak sebagai orang tengah untuk menjernihkan konflik antara Jurey dan Kamil.
Dalam pada itu, Yusof menyifatkan kejadian berlaku bukan salah sesiapa.
“Saya tidak menyalahkan Jurey atas salah faham yang timbul. Barangkali kejadian ini berlaku di luar kawalan,” katanya.

