Seorang lelaki Bahamas mengaku salah menggodam butiran peribadi sekurang-kurangnya 130 tokoh hiburan, sukan dan media untuk mencuri filem yang belum ditayangkan, skrip televisyen malah gambar serta video lucah mereka.

Pengakuan Alonzo Knowles, 24, itu membolehkan perbicaraan kes berkenaan diselesaikan dengan lebih cepat selepas dia ditangkap di Manhattan pada Disember lalu.

Pemuda dari Freeport itu terbang ke New York City dari negaranya untuk menjual 15 skrip dan pelbagai maklumat peribadi beberapa selebriti dengan harga hanya AS$80,000 (RM324,015).

Masalahnnya Knowles tidak menyangka pelanggan yang 'berminat' mendapatkan bahan sulit daripadanya itu ialah seorang anggota polis yang menyamar.

Pendakwa berkata tertuduh menunjukkan bahan yang ada padanya - termasuk gambar bogel seorang selebriti - sebagai bukti kepada polis terbabit.

Dia ditangkap sejurus selepas itu.

Ogos baru tahu nasib

Pihak berkuasa berkata siasatan mula dijalankan selepas Knowles menghubungi seorang hos program radio untuk menawarkan skrip sebuah rancangan popular televisyen.

Stesen berkenaan kemudian menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan mengenai Knowles.

Ekoran pengakuan salah tertuduh, dia berdepan hukuman penjara antara 27 hingga 33 bulan. Bagaimanapun hakim menetapkan 25 Ogos ini untuk Knowles mengetahui nasibnya.

Antara butiran persetujuan dicakai dengan pendakwa ialah Knowles mesti melupuskan 25 skrip televisyen dan filem yang dicurinya, serta lagu yang belum dirakam.

Sehingga kini mangsa Knowles tidak didedahkan identiti mereka oleh pihak berkuasa.

Sebelum ini mahkamah diberitahu skrip dimiliki Knowles adalah bernilai tinggi dan boleh merugikan penerbit yang pernah bercadang menggunakannya.

Pada suatu ketika penerbit sudah membincangkan kemungkinan untuk membatalkan terus program berkenaan kerana bimbang apa yang terkandung dalam perancangan mereka sudah terbocor kepada umum.

Kata pendakwa Knowles mencuri data rahsia itu dengan menghantar virus ke komputer sasarannya, atau menghantar e-mel palsu kononnya komputer mangsa sudah digodam.

Untuk menyelamatkan data itu, Knowles menawarkan bantuan dengan syarat mangsa menyediakan butiran peribadi masing-masing, termasuk kata laluan mereka untuk dia 'menyelamatkan keadaan' itu.