Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Jangan cepat 'sentap' - itu petua Ogy Ahmad Daud untuk kekal bertahan dan disegani dalam dunia hiburan.

Selepas puluhan tahun menjadi anak seni nama Ogy ternyata kekal dikenali ramai sebagai tokoh yang sentiasa cemerlang dalam melaksanakan tugas digalas.

Hal berkenaan sebenarnya bukan asing buat anak pasangan seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan Saadiah itu.

Ekoran acap kali mendapat kritikan atau teguran kerana bersikap berterus terang, Ogy mengakui 'dugaan' itu sudah melalikannya.

“Saya menganggap diri ini seorang yang perlu tabah apabila dihadapkan dengan cemuhan daripada orang ramai. Kalau saya kuat sentap sudah tentu….." katanya tanpa menamatkan kata-kata.

Kata Ogy, beliau bersyukur kerana mampu bertahan sejak era media sosial belum wujud sehingga kini.

Ogy ditemui Malaysiakini di malam anugerah Bintang Popular BH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya kelmarin.

Beliau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman pada malam berkenaan.

Tak ambil serius

Ogy bermula sebagai penyanyi sebelum melebarkan kerjayanya dalam bidang lakonan.

Antara filem yang menarik perhatian ramai ialah Ali Setan, Azura, Abang dan Puteri.

Beliau kemudian dikenali sebagai pengacara program hiburan televisyen sebelum sering dijemput menjadi juri untuk beberapa program realiti.

Kata Ogy, beliau berasakan sudah terlalu lama menjadi anak seni dan golongan yang sering melontarkan kata-kata sesedap mulut itu pula wujud sejak awal pembabitannya dalam dunia hiburan lagi.

Seandainya umum menyangka aura negatif itu diambil serius oleh Ogy, hal itu sebenarnya salah sama sekali.

Begitu juga, jauh sekali untuk pelakon yang pernah merangkul anugerah aktres terbaik Festival Filem Malaysia melalui Ali Setan dan Puteri itu berkecil hati atau terdetik untuk membenci pihak yang tidak menyokongnya.

Tak kisah, janji ikhlas

Sebaliknya, Ogy berkata dia memilih untuk tersenyum saja setiap kali berdepan kata-kata kesat orang yang tidak senang dengan caranya.

“Respon daripada orang begitu tak membuat saya tertekan atau tersinggung.

“Sebagai anak seni, saya lebih memikirkan peranan dan tanggungjawab lebih besar iaitu untuk memartabat dan memperjuangkan seni.

“Tiada masa hendak melayan karenah mereka yang sering mencari kesalahan, sebaiknya saya bersyukur dengan rahmat yang diberikan,” katanya.

Sementara itu bercakap mengenai pihak yang mempersoal kredibilitinya, Ogy berkata dia mengambil pendekatan lantang kerana mahu berlaku jujur, termasuk ketika menjadi juri sesebuah program realiti.

Sudah banyak acara disertainya seperti Akademi Fantasia musim keempat dan kelima, Bintang Mencari Bintang musim kedua dan terbaru, Gempak Superstar.

Pada Ogy, komen sebegitu sebenarnya untuk kebaikan peserta yang ditegur supaya mereka tahu menghargai peluang yang ada.

“Saya cukup marah seandainya peserta malas berfikir atau merangsang minda untuk pergi lebih jauh selepas memiliki bakat dan populariti.

"Takkan mereka nak selesa pada satu tahap saja?” soalnya.

Dalam apa jua bidang, kata Ogy, beliau berharap lebih ramai orang menyedari bahawa mereka harus jujur melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Saya tidak terfikir akan menjadi popular menerusi filem, nyanyian mahupun sebagai pengkritik

“Apa yang penting ialah keikhlasan kita dan tak mengapa jika hanya Allah yang tahu. Orang lain nak cakap apa, biarlah," katanya.

Lihat Komen
ADS