Biarpun ucapan diberi sangat ringkas dan bersahaja namun kenyataan Aizat Amdan ketika menerima anugerah Penyanyi Lelaki Popular ABPBH 29 Ahad lalu cukup menarik perhatian peserta siri Pencetus Ummah musim kedua Rahmat Ikhsan.
Aizat dalam ucapannya tidak merapu atau lewah berbahasa, sebaliknya mengingatkan penonton kepada penderitaan mangsa perang di Timur Tengah.
Dari atas pentas Aizat memberitahu hadirin: “Bantulah anak-anak pelarian Syria yang ketika ini amat memerlukan sumbangan anda semua. One moment for them.”
Pada topi dipakai Aizat juga tertulis ungkapan #1moment4them, iaitu kempen kesedaran untuk memperingati - dan membantu - pelarian perang Syria.
Melalui Facebooknya Rahmat lantas memberi pandangannya sebagai tanda sokongan.
“Buat abang Aizat AF. Saya sayang abang atas ucapan semalam (minggu lalu) di ABPBH. Terima kasih atas segalanya One Moment for Them.”
Menerusi semakan Malaysiakini, surat Rahmat itu mendapat kira-kira 3,400 like setakat tengah hari ini.
Bukan Aizat saja yang mendapat perhatian Rahmat. Sebelum itu, seorang lagi artis menerima 'surat terbuka' daripada peserta siri realiti itu.
Ada pengalaman manis
Menujukan kata-katanya - yang agak panjang, mesra dan berbunga-bunga - kepada Mira Filzah, Rahmat memberitahu bahawa ada "sedikit perbezaan" pada pelakon tersebut.
Ia mendapat lebih 14,000 like dan dikongsi lebih 3,700 kali.
Surat itu dimulakan dengan sesi 'memperkenalkan diri' diikuti ucapan tahniah atas kemenangan Mira pada malam itu.
Pelakon drama Cinta Si Wedding Planner itu memenangi gelaran pelakon wanita baru popular.
Ini antara isi surat yang ditulis oleh Rahmat.
“Kita ni sebaya tau Mira Filzah, saja nak bagitau kita sebaya dengan awak (eh suka hati je aku panggil awak.. haha).
“Kita kompem untuk awak yang berusia 23 tahun, mendapat gelaran artis baru popular merupakan satu pengalaman manis. Ia mabruk.
“Saya pun ada pengalaman manis untuk dikongsi, awak baca ea (fuh debarnya).
“Tahun ini saya menjumpai sepasang mata yang bercahaya, dan sebuah senyuman yang manis. Mata dan senyuman itu milik seorang anak pelarian Syria apabila berpeluang melawat kem mangsa perang di sana,” tulisnya.
Jika diperhatikan, kata-kata ditujukan kepada kedua-dua artis itu mempunyai persamaan dan ia melahirkan harapan untuk ribuan pelarian Syria yang memerlukan bantuan.
Pun begitu, surat itu turut mengundang pelbagai spekulasi lain kerana ada yang beranggapan pemuda itu cuba 'mengayat' Mira.
Bagaimanapun pada masa sama, ramai juga menganggap ia sebagai satu pendekatan dakwah yang sangat baik kerana aktres itu mempunya bilangan peminat yang ramai.
