Selepas tersebar desas-desus menyatakan Aerosmith mencari vokalis baru menggantikan Steven Tyler, jurucakap kumpulan itu tampil membuat penjelasan.

Kata pemain gitar Joe Perry tidak wujud situasi memerlukan Aerosmith mahu mencari vokalis baru menjelang siri konsert jelajah Amerika Latin pada September nanti.

“Kami berlima baru saja selesai berbincang - menerusi telefon - mengenai betapa gembiranya untuk bersama-sama ke Amerika Selatan dan Mexico,” katanya dilapor Rolling Stone.

Penjelasan itu dibuat berdasarkan wawancara antara gitaris Brad Whitford bersama Metal Rules pada 12 Mei lalu.

Dalam temubual itu, band berkenaan dikatakan pernah mempertimbangkan untuk membawa masuk vokalis baru menggantikan Tyler pada 2009.

Keadaan itu kata Whitford berlaku disebabkan wujud pertelingkahan sesama mereka dan hampir menyebabkan Aerosmith berpecah.

Pada masa sama, Tyler sibuk mempromosi dirinya sebagai penyanyi solo dengan kejutan genre kerana dia mahu muncul bersama muzik country.

Entah jadi entah tidak

Melalui siri jelajah Out on a Limb itu Tyler dijadual membuat persembahan di 19 bandar raya dengan persembahan pertama dibuat di Las Vegas pada 2 Julai ini.

Keadaan itu mendorong media bertanya kembali kepada Aerosmith terhadap kemungkinan mereka akan muncul dengan vokalis baru.

“Sudah tentu kami ada mempertimbangkannya, tetapi tidak tahu sekiranya ia akan benar-benar terjadi atau tidak.

“Tetapi pada anggapan saya jika memang terjadi, ia tentu hebat,” katanya.

Menurut Whitford, ketika Tyler meninggalkan kumpulan itu pada 2009, beberapa nama disebut-sebut bakal menggantikan tempat itu. Antaranya Lenny Kravitz dan Chris Cornell.

“Begitu banyak nama tersenarai iaitu dari Myles Kennedy hingga Axl. Kami juga turut menyenaraikan Sammy Hagar," katanya.

Pada April lalu Perry mendedahkan, band berkenaan dalam perancangan untuk mengadakan konsert jelajah perpisahan pada 2017.

“Kami sering memperkatakan mengenai konsert perpisahan selama bertahun-tahun, boleh dikatakan sudah lima tahun ia menjadi topik perbualan.

“Ia sesuatu yang sering kami bualkan tetapi sebenarnya kami tidak pernah pun duduk bersama berbincang dan mengatakan: Hey, inilah masanya untuk berbuat demikian.

“Perkataan yang mungkin sesuai untuk itu adalah, kami sedang memberi pertimbangan,” katanya.

Selain Aerosmith, Perry turut menubuhkan kumpulan muzik Hollywood Vampires bersama Johnny Depp dan Alice Cooper.

Mengenai perancangan konsert jelajah mereka ke Amerika Latin, Perry berkata, masih terlalu banyak perkara perlu dibincangkan.

“Kami banyak mempertimbangkan beberapa pilihan buat masa ini sama ada untuk mengadakan jelajah jangka pendek seperti pernah dibuat dahulu atau merakam album.

“Kami belum ada jawapan. Tetapi yang pasti kami sedang berehat dari kumpulan itu dan menikmati masa tersendiri,” katanya.