Ketika Yazid berasa dia tersisih daripada kumpulan Search semalam salah seorang anggota Wings tampil dengan idea untuk membantunya.

Melalui sebuah program realiti pemain gitar Wings, Joe bercadang memperuntukkan 10 peratus daripada yuran peserta War of the Bands disalurkan kepada pemain dram yang kini uzur itu.

Yuran penyertaan program berkenaan ditetapkan sebanyak RM300 bagi setiap kumpulan.

Namun begitu idea berkenaan mungkin mengundang pelbagai persepsi tidak manis kerana Yazid masih lagi menjadi perbualan ramai ekoran perselisihan fahamnya dengan Search.

Menyedari hakikat itu Joe meminta orang ramai tidak cepat berprasangka.

Katanya tiada sebarang niat jahat atau mahu menyindir sesiapa di sebalik cadangan berkenaan.

Kata Joe niatnya cuma satu, iaitu mahu menghulurkan bantuan seikhlas mungkin kepada Yazid.

"Saya sudah berkawan lama, bertahun-tahun dengan Yazid, dia juga tinggal di kediaman berdekatan dengan saya.

"Saya hanya mahu membantu Yazid di kala dia berada dalam kesulitan. Langsung tak ada niat nak menjatuhkan (atau memalukan) Search," katanya.

Joe ditemui di sidang media pengumuman pertandingan War of the Bands di Setapak Central Kuala Lumpur semalam.

Salur terus ke hospital

Program itu dirancang mengikut konsep Battle of the Bands yang pernah popular satu ketika dulu untuk mencari pelapis artis rock tempatan.

Peserta juga berpeluang merakam karya mereka dalam album kompilasi serta mendapat tunjuk ajar dan sokongan daripada Joe.

Kata Joe dia tidak mahu terbabit dalam konflik dalaman Search sebaliknya pertolongan yang diberi dibuat atas dasar kawan.

"Ini adalah masa yang dirasakan sesuai untuk saya menghulurkan bantuan kepada Yazid," katanya.

Yazid, 54, kini berseteru secara terbuka dengan kumpulannya ekoran isu pembayaran menjelang konsert 35 Tahun Search yang dijadual diadakan pada 30 Ogos ini.

Setakat ini Search sudah membatalkan memorandum persefahaman mereka dengan penaja konsert berkenaan.

Yazid sebelum ini dirawat di hospital kerana mengadapai masalah kesihatan.

Kata Joe sumbangan kepada tabung kebajikan untuk Yazid itu juga membuka peluang kepada peserta beramal sambil menyertai program War of the Bands.

Cuma katanya, dana yang bakal diperolehi akan disalurkan terus kepada pihak hospital yang menjalankan rawatan untuk Yazid.

"Duit itu tidak akan diberi ke tangan Yazid bagi mengelak sebarang kekeliruan," katanya.