Bekas ratu cantik Turki dihukum penjara 14 bulan selepas mahkamah mendapati dia menghina Presiden Recep Tayyip Erdogan.

'Penghinaan' dilakukan Merve Buyuksarac itu dibuat melalui puisi yang dimuat naik di akaun Instagramnya.

Selepas perbicaraan dijalankan di sebuah mahkamah di Istanbul hakim memutuskan Merve, 27, bersalah menghina penjawat awam.

Bagaimanapun hakim berlembut dengan model berkenaan dan membenarkan hukuman tersebut ditangguhkan dengan syarat dia tidak mengulangi perbuatannya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Tindakan menghina presiden Turki boleh menyebabkan seseorang dihukum penjara sehingga empat tahun.

Merve dinobatkan sebagai Ratu Cantik Turki 2006 dan kemudian melebarkan kerjayanya sebagai model.

Sebuah puisi satira dimuat naik pada 2014 - dan dikongsi ribuan pengguna lain di Instagram - menarik perhatian pendakwa Turki yang kemudian mendakwanya menghina Erdogan.

Erdogan juga berpuisi

Bagaimanapun perbicaraan hanya dimulakan pada Mei lalu dan berakhir baru-baru ini.

Peguam Merve dijangka akan memfailkan rayuan dalam tempoh terdekat.

Dalam perbicaraan Merve berkata dia menyiarkan puisi berkenaan tanpa berniat untuk menghina presiden Turki sebaliknya berpendapat ia "kelakar".

Dia ditahan seketika selepas memuat naik puisi berkenaan yang berkisar mengenai skandal rasuah di kalangan kakitangan awam berpangkat tinggi di Turki.

Undang-undang menghina presiden jarang dikuatkuasakan di Turki sehinggalah Erdogan dilantik ke jawatan presiden pada 2014.

Sejak itu lebih 1,800 orang didakwa, termasuk kartunis, wartawan dan remaja.

Pendakwa juga sedang menguruskan kes terhadap seorang pelawak Jerman yang mempersenda Erdogan di televisyen negara tersebut.

Menariknya pada Disember 1009 Erdogan sendiri ditahan dan dihukum penjara 10 bulan kerana membaca puisi karangan aktivis Turki pada awal abad ke-20, Ziya Gokalp.

Kesalahan Erdogan ialah mengubah suai puisi berkenaan walaupun teks itu diluluskan kementerian pelajaran negara Turki.

Erdogan - ketika itu berkhidmat sebagai Datuk Bandar Istanbul - dipenjara selama empat bulan dan terpaksa melepaskan jawatannya.

Dia juga secara automatik terhalang daripada terlibat dalam pilihan raya selama beberapa tahun.