Kemelut Search: Giliran penaja mahu saman
Selepas dituduh "tidak profesional" syarikat Afjets Sdn Bhd hari ini menuntut Search membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik dakwaan berkenaan.
Tidak cukup dengan itu Afjets turut menuntut semula RM500,000 yang dikeluarkan mereka sebelum ini untuk menjayakan konsert 35 Tahun Search, selain ganti rugi bernilai RM1 juta.
Bercakap kepada media di Shah Alam hari ini Ketua Pegawai Eksekutif AfJets, Amrul Nizar Anuar berkata pihaknya tidak membuat kenyataan menjatuhkan reputasi dan nama baik Search.
"Segala tuduhan seperti yang terkandung dalam notice of termination dikeluarkan pihak Search dan kenyataan yang dibuat mereka adalah tidak benar.
"Pembatalan yang dibuat Search juga dilakukan secara mengejut tanpa memaklumkan kepada pihak kami.
"Apabila Search meneruskan notis pembatalan mereka, bermaksud mereka sudah melanggar perjanjian dan kami sudah menghantar notis peguam semalam," katanya dilaporkan Harian Metro.
Apa yang dianggap satu daripada konsert besar Search pada awalnya mengundang rasa teruja ramai, terutama peminat kumpulan legenda berkenaan.
Dijadual diadakan di Stadium Merdeka sebelum ini, ia kemudian dipindahkan ke Litar Antarabangsa Sepang.
Namun impian melihat konsert itu dilangsungkan sambil merai sambutan hari kemerdekaan negara semakin kabur apabila berlaku perselisihan faham antara Search dengan pemain dram mereka, Yazid.
Tempias pertikaian itu kemudian terkena kepada Afjets dan Search kemudian membatalkan memorandum persefahaman ditandatangani antara kedua-dua pihak.
Sementara itu peguam Afjets, Adnan Seman @ Abdullah berkata, Search diberi tempoh selama 14 hari bagi menjawab notis yang dikemukakan.
"Sekiranya mereka enggan berbuat demikian, kami akan failkan saman di mahkamah," katanya dilaporkan portal berkenaan hari ini.

