Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pameran Peluang = Potensi diadakan sebagai menyokong usaha Teach for the Needs (TFTN) dalam mengangkat karya anak-anak yatim dan kurang berkemampuan yang mempunyai minat dan semangat menghasilkan seni lukis.

Lukisan yang ditempatkan di Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) itu adalah satu projek yang bertujuan memberi bimbingan dan motivasi kepada kanak-kanak menggunakan media seni sebagai satu cara mengekspresikan diri.

Menurut kolektor seni Raja Ahmad Aminullah Bin Raja Abdullah, peluang yang diberikan kepada kanak-kanak itu menunjukkan satu kepentingan dalam menghargai seni dan karya bakat muda.

“Usaha LPSVN dalam menganjurkan pameran seperti ini dilihat sebagai satu perkara yang amat membanggakan kerana mengiktiraf dan memberi peluang kepada karya di luar margin, iaitu yang dihasilkan oleh kanak-kanak.

“Tenaga pengajar secara sukarela dari TFTN yang menggerakkan pameran pula membuatkan saya berasa terharu dan gembira atas inisiatif dan sokongan yang diberikan,” katanya.

Menurutnya, pembelajaran seni mampu membantu tumbesaran minda kanak-kanak dan menjurus mereka ke arah kehidupan lebih membina dan positif.

“Seni adalah satu medium yang boleh dimanfaatkan oleh anak-anak ini apabila ia dilihat mampu membina keterampilan dan penampilan diri mereka. Ia juga menjadikan seseorang kanak-kanak itu boleh berdiri sama tinggi dengan rakan yang lain dalam proses pembelajaran,” katanya.

Lukisan yang dihasilkan membawa tema yang cukup mudah lagi dekat dengan jiwa kanak-kanak yang berusia dari 7 hingga 17 tahun itu.

Tema yang dibawa merangkumi Potret Diri, Rumah Saya, Sahabat Saya, Kerjaya Impian Saya, Kereta Impian Saya, Bangunan yang Cantik dan Mimpi Saya.

Bagi memupuk rasa cinta dan imaginasi terhadap seni lukis, projek ini disokong oleh dua tenaga pengajar Mohamad Farez Abdul Karim dan Samsudin Lappo.

Sebanyak 115 karya yang dipamerkan dihasilkan oleh tujuh buah rumah anak yatim yang terlibat iaitu Baitul Husna Insyirah (Kuantan), Al- Ihsan (Kuala Lipis), Rumah Tunas Harapan Jengka, Rumah Al- Hijrah (Kemaman), Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam Batu Pahat, Tahfiz Fugaha (Bangi) dan Al Kahiriyah.

Pameran berlangsung sejak 28 Mei lalu hingga 12 Jun ini bertempat di Creative Space bangunan LPSVN.

Pengunjung yang hadir berpeluang memiliki karya yang ada selain hasil jualan akan disalurkan ke rumah kebajikan bagi membantu perbelanjaan seharian mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS