Fox dikecam pamer iklan ganas terhadap wanita
Dengan satu alasan mudah, pihak studio Fox mengeluarkan kenyataan maaf apabila timbul sensitiviti terhadap iklan filem X-Men Apocalypse yang dipamerkan.
Isu itu tercetus apabila karakter Apocalypse yang dilakonkan Oscar Isaac memperlihatkan salah satu adegan ganas yang mencekik Mystic - watak dipegang oleh Jennifer Lawrence.
Menurut laporan Variety, Fox dikatakan mula menurunkan iklan yang ditampal pada papan billboard beberapa minggu sebelum filem berkenaan disiarkan pada 27 Mei lalu.
“Dalam keterujaan kami untuk mengetengahkan watak jahat Apocalypse, kami langsung tidak menyedari konotasi imej yang dihasilkan dalam bentuk cetakan ini mengganggu fikiran sesiapa.
“Sebaik kami menyedari tindakan itu amat tidak sensitif, kami segera mengambil langkah membuang material berkenaan. Kami meminta maaf atas tindakan kami dan tidak sesekali menyokong keganasan terhadap wanita,” kata kenyatan itu yang dikeluarkan Jumaat lalu.
X-Men: Apocalypse adalah filem kesembilan dihasilkan francais itu dan diarahkan Bryan Singer. Antara barisan pelakon termasuk Rose Byrne, Michael Fassbender, Nicholas Hoult dan James McAvoy.
Apocalypse adalah filem sekuel kepada siri terbitan syarikat itu X-Men: Days of Future Past (2014) dan ia dikatakan berjaya mengutip jualan sebanyak AS$280 juta (RM1 bilion).
Sementara itu, aktres Rose Mcgowan, 42, yang terkenal menerusi drama bersiri yang bertemakan kuasa ghaib Charmed - membawakan karakter sebagai Paige Matthews turut menyelar perbuatan Fox menyiarkan imej berkenaan.
“Tiada masalah besar apabila lelaki dan wanita yang bekerja di 20th Century Fox berfikir keganasan terhadap wanita sebagai satu cara mereka mempromosi filem.
“Di dalam iklan terbabit juga tiada sebarang maklumat melainkan ia hanya menunjukkan gambar seorang wanita yang dicekik. Hakikatnya, tiada sesiapa yang menyedari tindakan itu sebagai kesalahan benar-benar boleh dikatakan bodoh,” katanya.
Rose dalam pada itu menggesa syarikat berkenaan untuk memikirkan peranan dan sumbangan yang diberikan mereka kepada masyarakat.
“Di sebalik situasi yang boleh dikatakan ‘bijak’ ini, pihak terbabit perlu melihat cermin dan mengkaji peranan mereka. Bayangkan sekiranya yang pesalah laku adalah lelaki berkulit hitam dan yang dicekik adalah wanita berkulit putih, pasti ia mendatangkan kesan buruk yang melampau.
“Justeru, sila betulkan kesilapan kamu 20th Century Fox, terutama apabila kamu tidak meletakkan nama pengarah wanita selama dua tahun sebagai calon akan datang, apa kata kamu menukar iklan yang telah dibuat?” soalnya.

