Pavlensky tak serik lawan Russia dengan seni
Hukuman keras dijangkakan untuk seniman seni persembahan dan aktivis politik Russia, Petr Pavlensky, kerana membakar pintu pejabat agensi perisikan negara itu pada 9 November 2015.
Namun pegawai mahkamah membuat kejutan.
Pavlensky tidak disaran untuk dihumban ke penjara sebaliknya sekadar didenda dan dibebaskan.
Ketetapan itu bukanlah kerana hakim tidak bersependapat dengan pendakwa, sebaliknya atas kehendak pegawai itu sendiri.
Ketika perbicaraan pendakwa Anton Sizov mencadangkan Pavlensky hanya didenda berbanding dipenjara.
"Saya memohon mahkamah menyabitkan kesalahan ke atas Petr Andreyevich Pavlensky dan dihukum denda ₽2 juta (RM126,212)," katanya.
Tidak cukup dengan itu Sizov mencadangkan supaya denda itu boleh dikurangkan kepada hanya ₽1.5 juta (RM94,660) kerana tertuduh mempunyai dua anak yang perlu disara, tidak pernah memiliki rekod jenayah dan ditahan selama enam bulan sebelum perbicaraan.
Pavlensky kemudian dimestikan menanggung kos pintu yang dibakarnya - dianggarkan bernilai ₽481,461 (RM30,383) ketika kejadian.
Tak melawan ditangkap
Hakim, Yelena Gudoshnikova, kemudian memutuskan Pavlensky didenda ₽500,000 (RM31,553).
Keputusan yang dianggap sangat lunak itu memang mengejutkan bagi sebuah negara seperti Russia.
Pavlensky mencurah minyak dan menyalakan api pada pintu Ibu Pejabat Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) di Moscow pada 9 November 2015 dalam 'persembahan' yang dinamakannya Threat.
FSB adalah agensi perisikan yang dikenali sebagai KGB ketika Soviet Union masih wujud.
Pavlensky didakwa datang ke pintu masuk Lubyanka yang menempatkan ibu pejabat FSB kira-kira jam 1.15 pagi (waktu Moscow) dan menyimbah minyak dan menyalakan api dengan pemetik api.
Dia ditangkap tanpa melawan kira-kira 30 saat selepas itu dan sebahagian daripada pintu berkenaan rosak terbakar.
Beberapa jam kemudian satu klip video tersebar di Internet untuk menjelaskan rasional persembahan Pavlensky.
Pada 10 November - di mahkamah daerah Tagansky - Pavlensky mahu 'persembabahannya' itu dikategorikan sebagai "keganasan".
Pemilik Galeri Seni Kontemporari Guelman dan bekas pemilik bersama Yayasan Keberkesanan Politik Russia, Marat Gelman, tindakan Pavlensky adalah penzahiran simbol penentangan.
"Pintu Lubyanka menggambarkan laluan masuk ke neraka, atau dunia penuh kejahatan.
"Dengan latar belakang api marah, ada seorang seniman menanti untuk ditangkap.
"Imej Pavlensky di depan pintu FSB yang terbakar adalah simbol sangat penting untuk menggambarkan Russia ketika ini, sama ada dari segi politik atau artistik," katanya.
Tiadak keterangan di mahkamah
Pavlensky ditahan di penjara sejak ditangkap dan didakwa memusnahkan tapak warisan budaya negara. Undang-undang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.
Sebelum ini Pavlensky pernah memaku kemaluannya di Dataran Merah, menjahit bibirnya, melilit tubuh dengan kawat berduri dan memotong sebahagian daripada telinganya sebagai 'persembahan' untuk umum.
Sepanjang perbicaraan dia enggan memberi sebarang keterangan, sebaliknya hanya bercakap kepada wartawan dan penyokongnya.
Ketika peguam bela bertungkus-lumus mencari jalan membebaskan Pavlensky daripada tuduhan itu, dia berkali-kali meminta hakim membicarakannya sebagai pengganas.
Apabila hakim membenarkan dia membuat kenyataan akhir, Pavlensky sekadar berdehem sebelum mendiamkan diri.
Peguamnya Dmitry Dinze meminta Pavlensky dibebaskan dan semua tuduhan ke atasnya digugurkan.
"Dia bukan elemen jenayah, tetapi artis seni persembahan yang diiktiraf," katanya.
Rakan Pavlensky, Oksana Shalygina, berkata mereka terkejut dengan usul pendakwa raya.
"Kami menjangkakan Pavlensky dihukum penjara maksimum, tetapi mungkin disebabkan liputan meluas kes ini dan status hubungan Moscow dengan Barat, ia mempengaruhi pendakwa," katanya.
Namun Dinze berkata Pavlensky masih berisiko dihukum penjara kerana sehingga semalam dia enggan membayar denda yang ditetapkan.
"Jika ia berterusan Pavlensky boleh ditahan di kawasan penjara yang terpencil," katanya.
Shalygina pula mengesahkan kemungkinan besar Pavlensky enggan membayar denda "atas dasar prinsip" yang diyakininya.

