Disebabkan tidak puas hati gambarnya disalah guna pihak tertentu, vokalis kumpulan rock Gun N’ Roses, Axl Rose, memfailkan aduan menggesa Google memadam imejnya yang menjadi viral di Internet.

Beberapa imej dimuat naik itu digunakan sebagai bahan mengejek penampilan Axl Rose, 52, yang bertubuh gempal.

Memetik laporan Associated Press, Axl Rose menggunakan agensi dikenali sebagai Web Sheriff untuk memfailkan beberapa permintaan dengan mengemukakan isu pelanggaran hak bagi imej dinamakan Fat Axl Rose.

Menerusi imej itu, Axl Rose digambarkan sedang menyanyi bersama petikan beberapa lirik lagunya

Imej yang digunakan dalam ajukan itu diambil ketika Axl Rose mengadakan konsert pada 2010. Ia dirakam jurugambar Boris Minkevich dan disiarkan menerusi Winnipeg Free Press.

Axl Rose bergerak aktif dalam Gun N’ Roses sejak 1985. Dia bukan saja menjadi vokalis kumpulan itu malah turut bertindak sebagai penulis dan penerbit album.

Axl Rose pernah dinamakan antara penyanyi terhebat sepanjang masa oleh media termasuk Rolling Stone dan NME.

Untuk makluman, Axl Rose juga adalah pengasas bersama yang menubuhkan Gun N’ Roses.

Permintaan Axl Rose untuk Google memadamkan imej berkenaan ditemui pada laman sesawang Lumen Database - digambarkan sebagai entiti penyelidikan bebas berkaitan kandungan atas talian.

Lumen Database menyenaraikan sekurang-kurang 11 permintaan dibuat oleh penyanyi itu untuk isu pelanggaran hak sejak 31 Mei lalu.

Satu daripada imej yang diminta dipadamkan oleh Axl Rose termasuk "Remember the 80’s?"

Malangnya, seperti pengalaman selebriti terdahulu yang senasib dengan Axl Rose - seperti Barbara Streisand dan Beyonce - cubaan memadam imej berkenaan lebih menarik banyak perhatian kepada gambar yang tidak mereka ingini.