Gambia haramkan muzik, tarian sepanjang Ramadan
Kerajaan Gambia mempunyai cara tersendiri menyambut Ramadan - dengan mengharamkan muzik, tarian dan paluan gendang.
Sesiapa yang ingkar boleh ditangkap polis.
Untuk memastikan keberkesanan peraturan berkenaan kerajaan menggesa rakyat di negara kecil di barat Afrika itu segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada mana-mana orang mengingkarinya.
Setakat ini, kata jurucakap kerajaan, peraturan berkenaan dipatuhi dengan baik dan belum ada sebarang maklumat mengenai sesiapa yang membantah.
"Rakyat Gambia mematuhi peraturan melarang muzik, paluan gendang dan tarian sepanjang Ramadan ini," katanya.
Wilayah kecil terletak di antara Senegal dan Lautan Atlantik itu diisytihar presidennya, Yahya Jammeh, sebagai negara Islam pada Disember tahun lalu.
Ia menjadikan Gambia negara kedua selepas Mauritania mengumumkan negara masing-masing sebagai negara Islam di Afrika.
Bagaimanapun kata Yahya Jammeh hak penganut Kristian - penduduk minoriti di Gambia - akan tetap dihormati dan wanita tidak dikawal dengan kod pakaian tertentu.
Kata Yahya keputusan itu diambil untuk membebaskan negara berkenaan daripada sejarah penjajahan Gambia.
Siang, malam larangan sama
Pada 2013 Yahya mengumumkan negaranya keluar daripada gabungan Komanwel selepas menganggotainya selama 48 tahun.
Minggu lalu polis Gambia mengeluarkan kenyataan rasmi mengingatkan hampir 2 juta rakyat negara itu bahawa kerajaan mengharamkan "semua keraian, pesta dan majlis membabitkan gendang, muzik dan tarian" sepanjang Ramadan.
Larangan itu berkuat kuasa siang dan malam.
"Sesiapa yang terlibat diminta menghentikan aktiviti itu serta-merta atau berdepan hukuman keras," katanya.
Beberapa minggu selepas pengisytiharan Yahya dibuat, memo dalaman kerajaan yang terbocor menunjukkan kakitangan awam wanita diarah bertudung di tempat kerja.
Namun jurucakap presiden kemudian menyatakan arahan itu digugurkan.
Jammeh, 50, adalah bekas pegawai tentera dan ahli gusti yang menguasai Gambia melalui rampasan kuasa pada 1994.
Negara itu bakal mengadakan pilihan raya presiden Disember ini dan Yahya sekali lagi akan bertanding.

