Pelukis sertai IS di Syria dipenjara 12 tahun
Seorang pelukis dihukum penjara 12 tahun kerana menyertai militan IS di Syria, kata peguamnya hari ini.
Fauzee Ahmad, 48, mengaku bersalah atas dakwaan menyokong kegiatan pengganas di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kata peguamnya, Eric Paulsen.
Fauzee ditangkap pasukan polis antipengganas pada Oktober 2014, iaitu sebulan selepas dia pulang dari Syria.
Dia didakwa menyertai kegiatan membabitkan senjata api dan bahan letupan ketika di Syria sepanjang tempoh antara 29 Jun dan 18 September 2014.
Dalam hujahnya Paulsen memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan ke atas Fauzee kerana tertuduh pergi ke Syria sebagai pelukis.
Kata Paulsen Fauzee ke negara berkenaan untuk merakamkan suasana penrang dan kekejaman rejim negara itu ke atas rakyat Syria.
Bagaimanapun katanya Fauzee kemudian menyertai militan yang berperang di negara berkenaan.
Pendakwa pula berkata Fauzee pulang ke Malaysia pada September 2014 untuk menyebarkan ideologi kumpulan berkenaan.
Pihak berkuasa Malaysia terus memburu penyokong kumpulan IS di negara itu dan sudah mendakwa puluhan mereka di mahkamah.
Polis menganggarkan hampir 100 orang rakyat negara ini pergi ke Syria dan Iraq untuk berperang bersama militan IS.
- dpa

