Izzue nak 'menuntut ilmu' di Jepun
Kerana tertarik untuk mendalami struktur sosial dan budaya masyarakat Jepun, pelakon Izzue Islam sedang teruja memasang harapan mahu menjejakkan kaki ke negara matahari terbit itu.
Jika dulu dia hanya berkhayal berdasarkan gambar menarik yang pernah dilihat menerusi media sosial, rupa-rupanya kali ini dia memang berpeluang untuk merealisasikan impiannya itu.
“Jepun sememangnya destinasi percutian yang lama saya idam-idamkan.
"Peluang untuk bercuti ke sana akan saya gunakan sebaik mungkin untuk mendalami budaya, tempat bersejarah dan aktiviti masyarakat di sana," katanya kepada Malaysiakini di Petaling Jaya baru-baru ini.
Kata Izzue dia tertarik kepada Jepun kerana kemajuan teknologi mereka yang jauh ke depan.
Selain itu, katanya, aspek kebersihan masyarakat dan persekitarannya juga mengagumkan.
"Itu yang mahu saya saksikan dengan mata kepala sendiri," katanya.
Pelakon itu yang baru saja menyambut hari kelahirannya yang ke-26 pada 2 Jun lalu memberitahu, lawatan berkenaan juga turut disertai peminatnya.
Untuk makluman, ia adalah aktiviti pelancongan keempat diadakan Izzue - atau nama asalnya Muhammad Izzul Islam Mazlan - dengan agensi pelancongan Safir Go Travel.
Sebelum ini anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu pernah mengadakan aktiviti begitu - juga bersama peminat - di Hong Kong, Korea Selatan dan Itali.
Antara tempat yang dimasukkan ke senarai lawatan Izzue ialah Tokyo, Hakone, Tasik Ashi, Kyoto, Gunung Fuji, Kobe dan Kensai.
Idam cahaya mata
Pun begitu, menariknya mengenai Izzue, dia bukanlah penggemar makanan Jepun seperti sushi. Maknanya sepanjang tempoh berada di sana dia mungkin berdepan masalah hidangan di luar kebiasaannya.
“Saya pernah makan sushi sekali saja tetapi ia bukanlah makanan kegemaran," katanya.
Bagaimanapun ia mungkin berubah kerana ketika melawat Korea Selatan sebelum ini dia menggemari kimchi walapun tidak pernah merasai hidangan itu sebelumnya.
"Jadi mungkin tidak akan ada masalah dari segi mendapatkan makanan yang sesuai dan enak di Jepun nanti,” kata Izzue yang juga ahli kumpulan Forteen itu.
Sementara itu, bercerita mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini Izzue memberitahu dia akan menghabiskan siang raya pertama di kampung isterinya, Nurinafilah Waharudin di Klang sebelum pulang ke Kelantan kemudian.
Namun apa yang lebih diingini ialah meraikan Aidilfitri bersama Nurinafilah, 34, serta cahaya mata pertama selepas tiga tahun menjadi suami isteri.
“Saya tidak menyembunyikan perasaan mahu memiliki anak. Jika tidak ditanya media sekalipun, saya akan menyatakan keinginan untuk memperoleh zuriat.
“Tapi belum ada rezeki untuk itu. Saya harap peminat doakan yang terbaik untuk kami," katanya.

