Rancangan belum menjadi namun Harith Iskander tetap berharap Tun Dr Mahathir dapat muncul dalam rancangannya suatu hari nanti.

Kata pelawak dan pelakon itu dia 'orang' lain sudah membuat ketentuan walau apa pun yang dikatakannya.

Melalui Twitter Harith berkata dia berharap bekas perdana menteri itu dapat muncul dalam program yang dihoskannya, selepas ini.

Mengenai program Obviously Harith Iskander (OHI) yang dijadual bersiaran esok, Harith berkata slot berkenaan akan diisi dengan perbualan mengenai kejohanan Euro 2016 yang sedang berlangsung di Perancis kini.

Malaysiakini tengah hari tadi melaporkan Mahathir menyalahkan Datuk Seri Najib Razak berikutan pembatalan kemunculannya dalam rancangan komedi Harith esok.

"Saya akan bersamanya (Harith) atas pentas untuk bertukar-tukar fikiran berkenaan benda-benda yang menggelikan hati. Itulah tujuan Harith, itu tujuan dia sebab dia pelawak bukan ahli politik.

"Tapi tiba-tiba dia diarah untuk hentikan program ini. Ini cara Najib," dedah Mahathir dalam ucapannya di Sungai Besar hari ini.

 

 

Harith kini mengacarakan rancangan bual bicara di Astro Awani, pada jam 9.30 malam setiap Sabtu.

Mahathir berkata, beliau sudah mengesahkan kehadirannya sebelum arahan pembatalan itu dikeluarkan.

Beliau mendakwa satu-satunya perkara yang dibenarkan yang boleh diperkatakan tentang Najib hari ini adalah perkara yang baik mengenai perdana menteri itu.

Sementara itu jurucakap unit komunikasi korporat Astro memberitahu Malaysiakini, program OHI akan tetap disiarkan seperti biasa di saluran Awani.

Katanya OHI itu akan menyiarkan program khas mengenai kejohanan bola sepak Euro 2016.

"OHI tidak dibatalkan, kami sudah memuat naik poster dan maklumat mengenai Euro 2016 di Facebook dan hosnya masih Harith Iskander," katanya.

Bagaimanapun jurucakap itu enggan memberi komen lanjut.

Sebelum ini Harith pernah membawa beberapa tokoh berprofil tinggi sebagai tetamunya, termasuk bekas menteri dan Ketua Wanita Umni, Tan Sri Rafidah Aziz; bos AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan adik Najib, Datuk Seri Nazir Razak.