Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Demi meraikan Aidilfitri dengan lebih bermakna, penyanyi kelahiran Filipina Mark Adam berusaha memujuk ibunya ‘terbang’ dari Filipina ke Malaysia sempena 1 Syawal kali ini.

Ia bukan satu tugas yang mudah kerana ibu penyanyi Berat itu sememangnya amat takut menaiki pesawat udara.

“Rindu, memang teramat rindu dengan wanita yang melahirkan saya itu.

“Sudah lebih 10 tahun tidak pernah menyambut 1 Syawal bersama mak yang tinggal berjauhan daripada saya.

"Setiap tahun saya cuba memujuk dia datang ke Malaysia, dan tahun ini saya berazam membawa dia terbang ke sini,” katanya kepada Malaysiakini.

Mark, 36, ditemui di majlis berbuka puasa dan tayangan program-program Astro sempena Aidilfitri di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut pemilik nama penuh Fikri Mark Adam Abdullah itu, sesekali rindu terhadap ibunya dilepaskan menerusi panggilan telefon.

Menjelaskan punca kebimbangan ibunya, Mark berkata tiada sebarang trauma atau pengalaman buruk dilalui sebelum ini.

Sebaliknya kata Mark, ibunya takut selepas mengetahui pelagai musibah yang menimpa beberapa kapal terbang yang terlibat dalam kemalangan sebelum ini.

Justeru dia sering 'tewas' untuk menunaikan hajat anak lelakinya itu untuk meraikan 1 Syawal di Malaysia.

“Dia takut sebab seringkali didedahkan dengan maklumat penerbangan yang ditimpa nahas.

“Kisah-kisah menyayat hati yang kita baca atau tonton pada televisyen menambah lagi kekhuatiran mak.

“Ada juga saya minta bantuan isteri untuk bersama-sama meyakinkan mak agar menyambut raya di sini,” kata suami kepada Norazah Redzuan, 36.

Terkenang masakan ibu

Pun begitu, Mark menyatakan, peluang untuk menyambut Aidilfitri pernah dikongsi bersama adiknya yang datang ke negara ini.

Dibesarkan dalam persekitaran setinggan - malah Mark sekeluarga pernah tidur di 'kediaman' berlantaikan pasir di Cebu City - dia memberanikan diri merantau ke Malaysia pada 2001.

Niatnya hanya mahu membela dan membantu keluarga.

Keputusan yang diambil itu sekaligus memaksa Mark berjauhan daripada keluarga, ibu dan tempat kelahirannya.

Takdir menemukan Mark dengan Norazah dua tahun selepas itu, lalu pasangan berkenaan berkahwin pada 2003.

Menambah terkilan, kata Mark, keenakan masakan ibunya sentiasa berbekas di hati.

Ketika jarak dan agama memisahkan kedua-dua mereka, katanya, dia tidak pernah melupakan wanita itu setiap kali berdoa.

"Saya sentiasa berdoa agar Allah mengurniakan kesihatan baik buat mak.

"Agama adalah agama, ia tidak memutuskan hubungan antara ibu dan anak.

"Ibu dan arwah bapa juga menyenangi dan menyayangi isteri saya," katanya.

Lihat Komen
ADS