Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Micai pertemukan lebih 100 karyawan seni
Diterbitkan:  Jun 29, 2016 11:06 AM
Dikemaskini: 3:26 AM

Lebih 100 karyawan seni dalam dan luar negara akan memeriahkan pameran seni lukis yang akan diadakan di ibu negara selama seminggu bermula 5 November ini.

Pengarah projek Seni Kontemporari Antarabangsa Malaysia Jemputan Kali Pertama (MICAI) 2016, Nur Fatihah Chai Abdullah berkata seramai 50 pelukis dari 10 negara dijemput menyertai acara yang julung kali diadakan itu.

Cadangan penganjuran acara itu datangnya daripada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang melihat pelbagai potensi bagi penganjuran ini khasnya kepada produk pelancongan dan kepentingan karyawan di negara ini.

"Selain lebih 50 karyawan tempatan daripada pelbagai bangsa, ia turut disertai karyawan istimewa, orang kurang upaya" katanya pada majlis prapelancaran MICAI 2016 di Wisma Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya selain daripada pameran lukisan dan hasil seni pelukis dari 10 negara jemputan antaranya China, Jepun, Vietnam, Thailand dan Indonesia, pihaknya juga akan mengadakan pasar seni atau art market kepada masyarakat tempatan.

MICAI 2016 menggunakan tema Colours of Harmony, dan pihaknya kini masih membincangkan lokasi paling sesuai untuk mengadakan acara berkenaan.

Katanya acara seumpama itu memberi peluang kepada karyawan tempatan berkongsi pengalaman dengan pelukis jemputan antarabangsa.

Beliau berkata acara berkenaan akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan dalam kalendar Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

"Untuk acara ini, kami melihat Bernama sebagai sebuah agensi berita yang amat berpotensi untuk membantu kami mempromosikan MICAI 2016 bukan sahaja di dalam, malah di luar negara," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS