Ia bukan acara biasa-biasa, sebaliknya sebuah persembahan untuk kempen memerangi Aids secara global.

Justeru band rock terkenal, Coldplay dan Putera Harry berduet untuk detik yang istimewa itu.

Persembahan pertama kali seumpamanya itu dikatakan berjaya menggegarkan Istana Kensington tempat acara berkenaan dilangsungkan.

Usahasama Harry itu dikatakan menyambung ‘legasi’ ditinggalkan mendiang ibunya Puteri Diana.

Menurut kenyataan dikeluarkan pihak istana semalam, Harry terlibat dalam kempen memerangi HIV dan Aids kerana mencontohi Diana – pernah menjadi ikon seluruh dunia – bagi menyuntik kesedaran masyarakat dunia terhadap bahaya penyakit berkenaan.

“Selama sedekad Harry membina pengalaman dalam menyokong mangsa HIV di Lesotho menerusi kerja amal Sentebale.

“Kini Harry berazam untuk membantu generasi muda memahami perjuangan melawan penyakit berkenaan dan usaha itu masih berterusan,” lapor USA Today.

Sentebale ialah sebuah pertubuhan kebajikan yang ditubuhkan bersama Harry dan Putera Seeiso dari Lesotho pada 2006. Sentebale bermaksud "jangan lupakan aku".

Lesotho adalah negara ketiga paling banyak mencatat kes HIV di dunia dan dianggarkan ada lebih 37,000 kanak-kanak berusia bawah 14 tahun hidup dengan virus berkenaan.

Di negara itu juga ada seramai 360,000 anak yatim dan kira-kira 10 peratus daripada kanak-kanak di Lesotho dianggap terdedah kepada pelbagai ancaman.

Pada tahun 1980-an, Diana bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib pesakit HIV .

Ekoran daripada sikapnya itu, dia berjaya mengubah persepsi masyarakat umum khususnya sikap dan simpati semasa berdepan dengan pesakit.

Malam tadi, konsert Sentebale diangarkan dihadiri 3,000 penonton dan turut disertai penyanyi Joss Stone.

Ia menyasarkan sejumlah kutipan dana untuk remaja yang mengidap HIV.

Pada penghujung persembahan penonton menyaksikan Harry menyanyikan lagu Up&Up dari album Coldplay A Head Full Of Dreams.

Coldplay turut berduet dengan salah seorang anggota Bee Gees, Barry, menyampaikan lagu To Love Somebody dan Stayin Alive.