Sehelai kertas berbalut plastik dan mahakarya
Ketika menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dalam kursus seni lukis dan seni reka, saya hanyalah seorang buruh binaan yang kerjanya membuat pagar di sebuah ladang.
Melanjutkan pengajian ke kursus seni di sebuah institusi pengajian tinggi begitu adalah satu daripada pencapaian yang berjaya saya tunaikan untuk guru saya.
Ketika di sekolah juga saya memutuskan untuk mengikuti kelas seni dan sastera walaupun ia mendapat rungutan daripada beberapa orang guru yang dekat dengan saya.
Bagi mereka pembelajaran dalam kelas seni dan sastera adalah untuk himpunan pelajar-pelajar bermasalah.
Tamat peringkat diploma saya menyambung pengajian pula ke peringkat ijazah. Kali ini dalam seni halus dan saya memilih seni arca sebagai subjek major.
Di situ saya memilih tema-tema politik dan kritik sosial sebagai sumber penghasilan arca. Beberapa kali saya ditegur pensyarah.
Bangunan buruk tepi padang
Sebelum menamatkan pengajian, saya dan pelajar lain bidang seni diwajibkan menjalani latihan industri atau praktikal.
Ketika itu Balai Seni Visual Negara adalah destinasi kami. Saya dan seorang lagi teman ditempatkan di jabatan konservasi dan memulakan tugas di lapangan selepas beberapa hari melapor diri.
Setiap pagi kami akan ke sebuah bangunan buruk di tepi sebuah padang di Universiti Malaya (UM).
Ya, sebuah banggunan yang barangkali tiada nilai sama sekali bagi sesetengah pihak sehinggakan mereka merelakan lapisan demi lapisan cat menutupi sebuah karya agung pada dindingnya.
Lapisan cat itu bukan saja mencemar malah menghilangkan terus kewujudan karya agung tersebut.
Saya bernasib baik kerana ketika memulakan tugas lapangan itu kakitangan lain baru saja memulakan proses konservasi.
Jadi tersangatlah beruntungnya saya dapat mengikuti proses itu sejak awal - dari proses membuat grid, menanggalkan semula cat yang menutupi lukisan asal, melakar kembali lukisan hinggalah mencari warna asal dan mewarnakan semula lakaran berkenaan.
Tidak dapat dipastikan sama ada lukisan pada dinding tersebut dihapuskan kerana ia menyakitkan mata sesetengah orang atau ada alasan lain.
Mungkin bagi pihak tertentu apa saja yang menyakitkan mata - termasuk karya seni - wajiblah dihapuskan.
Karya pelukis tamu
Hal-hal "menyakitkan mata" dari satu segi bukan seperti perasaan sakit hati yang ada akta boleh diguna pakai bagi mendakwa pihak yang melakukannya.
Namun pada hakikatnya ada baiknya manusia didakwa daripada menghukum sebuah tamadun seni.
Akhirnya atas sebuah nilai tanggungjawab - mungkin - karya dihasilkan pada sekitar 1971 hingga 1978 itu berjaya dibaik pulih.
Ia adalah karya seorang pelukis tamu UM yang menjadikan dinding bangunan pusat sukan institusi pengajian tinggi itu sebagai kanvasnya.
Ia berlaku dengan kepakaran dan kerjasama daripada Balai Seni Visual Negara.
Selain di baik pulih, seluruh bangunan tersebut kemudian ditutupi dengan lapisan kaca bagi memelihara karya agung tersebut.
Untuk berlaku adil, saya akui maklumat yang diperoleh agak terbatas. Tidak dapat dipastikan sama ada proses pencabulan dan pemerkosaan ke atas karya berkenaan berlangsung dengan suasana rela atau ada bantahan daripada mana-mana pihak.
Nasib tidak memihak
Apa lagi jika ada faktor politik di sebaliknya. Tiada maklumat mengenai hal itu namun sebelum proses konservasi dibuat karya sejarah itu sudah dipadamkan, sekurang-kurangnya untuk seketika.
Bagi pencinta seni apa yang berlaku itu adalah tragedi dan amat sadis.
Tidak syak lagi ia adalah peristiwa pilu buat pencinta seni walaupun pada akhirnya perasaan itu boleh ditenangkan sedikit kerana berjaya diselamatkan dengan sentuhan tangan terkemudian seperti saya dan para petugas lain.
Proses konservasi itu akhirya disiapkan pada Februari 2012.
Selepas siap saya tidak pernah menjenguknya semula sehinggalah kira-kira dua bulan lepas saya berkesempatan melawatnya sambil menemani isteri menghadiri sebuah acara kesenian di Kuala Lumpur.
Oh ya, jika ada rakan-rakan yang berpeluang ke sana, tolong tengokkan buat saya - apakah pihak pengurusan masih menampal kertas berbalut plastik yang tulisannya hampir kabur sebagai 'papan tanda' di bangunan sukan yang menempatkan karya seniman agung itu?
Begitulah nasib manusia. Walaupun bergelar seniman tersohor kadang-kadang nasib tidak memihak kepada mereka.
Terbaru karya allahyarham Syed Ahmad Jamal mengalami nasib lebih malang daripada karya allahyarham Ibrahim Hussien di UM itu.
Buat rakan-rakan seniman muda yang ghairah berkarya dan mengeja(r) angka ringgit, sematkanlah kata-kata Dinsman ini bersama titip rindu saya buat kalian: “Kurangnya reaksi masyarakat terhadap pencerobohan arca Syed Ahmad Jamal itu juga mencerminkan sikap orang seni di negara ini yang kebanyakannya tak peduli apa sedang berlaku dalam masyarakat.”
ARAFAT HAMBALI mantan pelajar seni yang memboikot dirinya sendiri untuk berkarya dan juga penulis marginal.

