Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
SENIMAN tuntut Teo minta maaf komen P Ramlee
Diterbitkan:  Jul 10, 2016 6:44 PM
Dikemaskini: Jul 3, 2017 9:48 AM

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) berkata kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG) David Teo baru-baru ini mengguris banyak pihak termasuk kaum kerabat alalhyarham Tan Sri P Ramlee.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini SENIMAN berkata tindakan Teo membandingkan Seniman Agung itu dengan artis bernaung di bawah MIG dianggap tidak wajar.

"Kita (boleh) bersetuju jika dikatakan di akhir hidupnya P Ramlee miskin harta namum Seniman Agung tersebut kaya dengan ilham dan nilai seni yang sebenar dalam dirinya.

"Disebabkan itulah hasil karya beliau diingati sehingga kini dan tidak lapuk ditelan zaman," kata pertubuhan itu.

Kenyataan berkenaan dibuat atas nama Setiausaha Agung SENIMAN Hafiz Nafiah.

Khamis lalu sebuah Malay Mail Online menyiarkan laporan mengenai rancangan Teo mahu melahirkan pelakon yang bukan saja dikenali ramai, malah mampu menjadi jutawan.

Kata Teo tidak ada faedah menjadi pelakon tetapi hidup melarat seperti "pengakhiran kehidupan P Ramlee".

“Kalau tak jadi jutawan, jangan jadi pelakon. Gila glamor buat apa? Kita kena kaya raya. Jangan seperti P Ramlee tinggal pun di tepi Bukit Bintang.

“Anak dia kena kerja dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Perbelanjaan kenalah dikawal secara berhemat.

“Kita tak boleh masa glamor lupa diri, berlagak dan berjoli tetapi bila dah tua tak ada duit,” katanya.

Menurut SENIMAN pertubuhan itu juga bertanggungjawab mempertahankan P Ramlee kerana geralan Seniman Agung itu dicadangkan sendiri oleh mereka kepada kerajaan sebagai pengiktirafan terhadap tokoh serba boleh itu.

"SENIMAN menggesa David Teo menarik balik kenyataan beliau bagi menghormati perasaan ahli keluarga P Ramlee serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

"SENIMAN juga berharap beliau tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan tidak berasas serta membuat perbandingan antara satu sama lain," katanya.

Lihat Komen
ADS