Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Isu Selena Gomez: MCA minta PAS bersikap adil
Diterbitkan:  Jul 18, 2016 9:08 PM
Dikemaskini: 1:45 PM

Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon mempersoalkan tindakan Pemuda PAS membantah segala acara berbentuk hiburan yang sepatutnya boleh dinikmati oleh masyarakat bukan Islam.

Menurut pemimpin pemuda itu, tindakan membantah acara sedemikian demi menjaga akidah generasi muda sekaligus dianggap tidak wajar malah dianggap bersikap berat sebelah kepada masyarakat bukan Islam.

“MCA menghormati Islam sebagai Agama Negara.

“Pada masa sama, kami juga maklum dengan Perlembagaan diperuntukkan buat masyarakat bukan Islam - Artikel 3 (1) yang menyentuh agama lain juga boleh diamalkan secara aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media.

Chong berkata demikian selepas Pemuda PAS membantah persembahan penyanyi dari Amerika Syarikat, Selena Gomez yang dijadualkan berlangsung pada 25 Julai di Stadium Malawati, Shah Alam.

Konsert 'Selena Gomez Live in Malaysia' itu dianggap mencemarkan kehormatan dan keberkatan Syawal yang masih lagi diraikan dan disambut oleh masyarakat Islam.

Selain itu, kata Chong, Pemuda PAS pernah membantah beberapa acara tidak kira sama ada dengan kedatangan Syawal atau pun tidak seperti konsert Adam Lambert (2010), menggesa boikot ke atas konsert Rihanna, memprotes konsert Avril Lavigne dan ban konsert Beyonce pada 2009.

Baru-baru ini, Malaysiakini menyiarkan Pemuda PAS Kelantan yang membantah pawagam diwujudkan semula di negeri itu kerana percaya ia boleh menggalakkan gejala tidak sihat dan suasana romantik antara lelaki dan perempuan - dan bantahan itu juga dilakukan walaupun tiada kena-mengena dengan bulan Syawal.

Sehubungan itu, Chong mempertikaikan ketidak seimbangan dalam langkah-langkah 'pencegahan' yang diambil oleh Pemuda AS.

Malah menurutnya, sekiranya Pemuda PAS benar-benar mahu menjaga perilaku masyarakat, tindakan itu wajar dimulakan daripada akar umbi - iaitu bermula dengan artis Malaysia sendiri.

“Peliknya, jika Pemuda PAS menganggap konsert dari Barat boleh menyebabkan kerosakan akidah, pawagam pula menyebabkan gejala kurang sihat, mengapa mereka berdiam diri apabila ada artis rock atau penyanyi wanita tempatan membuat persembahan atas pentas?

“Mengapa diskriminasi hanya dibuat ke atas luar negara tetapi tidak ke atas artis tempatan”

“Isu ini sebenarnya sama saja, jika artis membuat persembahan atas pentas, ia menghakis kepercayaan akidah dalam kalangan penonton,” katanya.

Menurut Chong, Pemuda PAS tidak perlu risau tentang perkara yang tidak sepatutnya selagi pihak penganjur dan artis mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa mahupun Kementerian.

Ia termasuk pakaian, pemantauan bunyi kuat, memastikan keselamatan pengunjung terjamin dengan belian tiket yang sah sahaja, laluan kecemasan dan papan tanda mencukupi menunjuk ke arah pintu keluar.

Sebaliknya, Chong berkata, pihaknya tidak akan melepas pandang sekiranya penyokong Pemuda PAS mengganggu ketenteraman awam dan akan mengambil tindakan yang dirasakan wajar.

“Kami turut menggesa polis, pihak berkuasa tempatan dan penganjur untuk meningkatkan keselamatan bagi mengelak penceroboh di sekitar konsert sekiranya ada bantahan dilakukan Pemuda PAS.

“Penonton masih boleh menikmati konsert tanpa perlu berasa khuatir tentang keselamatan mereka.

“Sehubungan itu, pihak kami tertanya-tanya di mana pendirian PKR yang diterajui kerajaan negeri Selangor mengenai isu ini konsert dan bantahan Pemuda PAS? Begitu juga, bagaimana exco DAP dalam pentadbiran negeri Selangor akan mengatasi sekutu mereka dan bantahan PAS?,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS