Jika ditakdirkan Sahara kahwin lagi...
Lima tahun menetap di negara timur tengah, Sahara Yaacob pada 2007 pulang ke tanah air untuk menjaga ibunya yang sakit.
Beliau meninggalkan suami Mesirnya Hosam Mohamed, yang merupakan perkahwinan bagi kali kelima, sebelum mereka dilaporkan bercerai dua tahun lalu.
Bagaimanapun, lima kali berkahwin, Sahara, 60, tetap merasakan dirinya hanya wanita biasa yang masih mengharapkan kebahagiaan.
Kata Sahara, jika ada insan yang sudi menghulurkan kasih-sayang, tidak mustahil untuk dia mempertimbangkannya tetapi dengan bersyarat.
“Biarlah lelaki itu datang dengan cara yang betul dan ikhlas selain menerima keadaan saya seadanya kerana tidak sesekali akan menjual diri.
“Saya akan lebih berhati-hati, kerana sudah tentu masih ada perasaan khuatir dan fobia dengan pengalaman lalu.
“Tetapi jika ditakdirkan berkahwin lagi, kebebasan dan menjadi diri sendiri adalah penting,” katanya yang sudah memaafkan perkara lalu.
Sahara atau nama sebenarnya Zaharah Mohd Yaacob berkahwin dengan suami pertama, lelaki Inggeris, Kassim Wheat seawal usianya 15 tahun. Kassim ketika itu berusia 69.
Perkahwinan kedua bersama Nazri Abdul Rahman Hashim hanya bertahan selama tiga tahun kerana tiada zuriat.
Sahara berkahwin pula dengan pemimpin sebuah pertubuhan Dr Nordin Ahmad tetapi hanya kekal selama lapan bulan.
Kemudian, Sahara berkahwin dengan pengurusnya Ghazlan Sheikh Mahmud tetapi bercerai setahun kemudian kerana tidak serasi.

