Charlize Theron bimbang isu HIV masih belum selesai
Pelakon Charlize Theron percaya perjuangan melawan epidemik AIDS masih belum selesai dan semua pihak perlu bersedia menghadapi kebenaran yang terjadi di sebaliknya.
Kebimbangan Charlize, 40, itu disuarakan ketika dia menghadiri Persidangan Antarabangsa AIDS 2016 yang baru bermula semalam hingga 22 Julai ini di Durban, Afrika Selatan.
“Saya fikir mungkin inilah masanya kita mengenal pasti ada sesuatu yang tidak betul berlaku,” katanya.
Pelakon Mad Max: Fury Road itu adalah pengasas kepada Charlize Theron Africa Outreach Project.
Katanya, perjuangan menentang HIV sewajarnya sudah tamat di Afrika.
“Sebaiknya, semua harus mengetahui kebenaran di sebalik dunia yang tidak adil ini.
“Kebenarannya kita ada semua peralatan untuk membasmi HIV, jadi mari kita bertanya kepada diri sendiri mengapa epidemik ini masih belum dikalahkan?
“Adakah kerana kita tidak mahu?” soalnya.
Charlize yang dilahirkan di Afrika Selatan dan kini menetap di Amerika Syarikat turut mengaitkan perjuangan menentang wabak di benua itu dengan isu masyarakat yang lebih besar.
“Kita menghargai lelaki lebih daripada wanita. Cinta sejati lebih daripada cinta sesama jantina. Kulit putih lebih daripada kulit hitam. Kaya daripada miskin dan orang dewasa daripada kedewasaan.
“Saya pasti mengenai perkara ini kerana AIDS tidak membezakan sesiapa jika ia ingin menjangkiti, ia tiada keutamaan biologi, ia tidak memulaukan yang mudah terjejas, tertindas atau didera.
“Tetapi sebaliknya kita yang tidak menghiraukan yang mudah terjejas, tertindas dan didera.
“Kita tidak menghiraukan malah membiarkan mereka untuk mati,” katanya seperti dilapor portal ET Canada.
Dalam pada itu, Charlize turut menegaskan penyakit bawaan HIV bukan hanya disebabkan kekerapan melakukan hubungan seksual atau dijangkiti.
“HIV turut disebarkan oleh isu jantina, perkauman, kemiskinan dan homofobia.
“Sekiranya kita ingin mengakhiri epidemik ini, kita harus menanganinya menerusi hati dan minda terlebih dahulu.
“Akhiri epidemik ini,” katanya yang meletakkan tanggungjawab itu ke atas generasi muda sekarang.

