Biasanya kasih ibu membawa ke syurga, manakala kasih ayah kadang-kadang membawa masalah.

Itu dialami pelakon kanak-kanak Misca Fortuna yang terpaksa berdepan dengan kerenah ketagihan judi bapanya.

Mula berlakon dalam siri sinetron Indonesia sejak berusia lima tahun pendapatan Misca memang dianggap lumayan.

Namun perolehan daripada bakat kanak-kanak berusia lapan tahun itu tidak dimanfaatkan seperti sepatutnya.

Saban hari bapa Misca mencuri wang kanak-kanak terbabit secara berperingkat sejak awal tahun ini.

Ibu Misca, Jacky Susilowati, berkata secara keseluruhan suaminya sudah menghanguskan kira-kira Rp100 juta (kira-kira RM31,000) wang anak mereka.

Wang itu diperoleh hasil lakonan Misca dalam siri Emak Ijah Pengen ke Mekah.

Kata Jacky wang itu diambil suaminya melalui mesin pengeluarang automatik.

"Wang itu sepatutnya digunakan untuk persekolahan Misca," katanya.

Difahamkan bapa Misca sudah terpengaruh dengan aktiviti perjudian atas talian dan penyakit itu semakin serius akhir-akhir ini.

Kata Jacky dia juga tidak terkejut jika wang anak mereka digunakan suaminya untuk berfoya-foya.

Kecurigaan itu memang berasas. Suatu masa dulu kata Jacky rahsia kecurangan suaminya pernah terdedah.

Untuk memaksa lelaki terbabit bertanggungjawab Jacky merujuk kes berkenaan kepada polis dan pihak berkuasa agama di Depok, Jawa Barat.

Buat masa ini lelaki terbabit dilaporkan gagal dikesan kerana dipercayai menyembunyikan diri.