Kini bukan saja orang biasa memberikan sokongan kepada Hillary Clinton, malah kartun turut menyatakan sokongan kepada bekas wanita pertama AS itu.

Pasangan Marge dan Homer Simpson adalah 'tokoh' terkini menyatakan sokongan terbuka mereka kepada Hillary menjelang pilihan raya presiden AS pada 8 November nanti.

Sokongan itu dinyatakan mereka melalui klip video diterbitkan 20th Century Fox.

Klip berkenaan - berjudul 3am - dimuat naik di YouTube dan turut mempersenda lawan Hillary, Donald Trump.

Trump, 70, dipaparkan sedang di atas katil bersama senaskhah buku berjudul Great Speeches tulisan A Hitler. Dia kemudian sibuk menulis di Twitter dan memarahi panggilan pasukan kempennya.

Apabila Homer mengisyaratkan dia mungkin mengundi Trump, isterinya berkata: "Jika itu undi kamu, saya akan bertanya sama ada saya akan bersama dengan kamu lagi selepas ini."

Homer menjawab: "Dan begitulah saya menjadi (penyokong) Demokrat."

Perbincangan itu berlaku ketika pasangan terbabit berada di atas katil.

Hillary adalah calon parti Demokratik dan akan berdepan dengan Trump dari Republikan.

Suami Hillary, Bill Clinton adalah presiden ke-42 AS yang menduduki Rumah Putih antara 20 Januari 1993 hingga 20 2001.

Ketika menjadi presiden Bill diingati - antara lain - kerana skandal seksnya bersama pekerja Rumah Putih, Monica Lewinsky.

Dalam klip sama turut dipaparkan suara latar bertanya, jika waktu adalah jam 3 pagi dan telefon di Rumah Putih berdering, siapakah yang orang ramai ingini menjawabnya.

Soalan itu merujuk kepada kempen politik Hillary pada 2008 yang bertanya warga AS siapakah yang mereka harapkan memimpin negara itu dalam krisis.

Babak seterusnya memaparkan Hillary dan Trup bertindak balas kepada panggilan berkenaan.

Jawapan Trump adalah ringkas: "Bukan sekarang, saya sedang melayan Twitter."