Pengarah muda tempatan Dharius Zulkefli memenangi anugerah suntingan terbaik bagi drama pendek Kun Fayakun di United International Film Festival (UIFF) 2016 di New York, Amerika Syarikat.

Kemenangan itu mengatasi 45 filem lain daripada seluruh dunia dan anugerah itu persembahkan pada 31 Julai lalu.

Kun Fayakun yang ditulis dan diarah oleh Dharius membawa tema psikologi yang mengisahkan Henry yang lumpuh dan sedang bergelut untuk pulih.

Bercakap mengenai sumber inspirasinya, Dharius menjelaskan idea filem itu timbul daripada perbualan dengan ibu bapanya mengenai ‘pilihan’.

Perbualan itu memberi idea mengenai seorang lelaki yang terperangkap antara syurga dan neraka, dan tidak ingat bagaimana dia tiba ke tempat seperti itu.

Filem pendek itu disudahkan dalam masa dua bulan dengan barisan pelakon seperti Ignacyo Matynia, Peyton Bristol, William Jousset, dan Ross Pivec.

Awal tahun ini Dharius pernah bekerjasama dengan Peyton untuk Fado dan seterusnya merancang untuk menayangkan kedua-dua filemnya di pelbagai acara festival di AS.

“Filem berkenaan dihasilakan dengan penuh dedikasi dan minat mendalam.

“Walaupun tidak mendapat sumber kewangan yang mencukupi, saya mahu menunjukkan apa yang boleh dicapai dalam industri.

“Walaupun saya rakyat Malaysia dari negara asing dan itu agak menakutkan, saya benar-benar percaya 'Malaysia Boleh' dan berharap untuk terus berjaya dalam festival filem lain,” katanya seperti dilapor portal Kr8tif Express.