Cinta membawa satu pengertian yang cukup luas buat penyanyi yang sedang meningkat naik, Nadira Adnan.

Lantas, elemen itu diangkat sebagai tema utama dalam merealisasikan konsert sulungnya - Konsert Cinta - yang akan berlangsung dari 19 hingga 20 Oktober ini di Istana Budaya.

Nadira berkata, cinta dianggap sebagai tema yang begitu dekat dengan hatinya bagi melambangkan segala pengorbanan dan kerja kerasnya untuk mengukir nama di persada seni.

“Selain kerjaya, kita perlu ada cinta pada negara dan masyarakat kerana bagi saya, tanpa cinta, hidup tidak akan membawa apa-apa erti.

“Sejak dari kecil mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang nyanyian hingga membuatkan saya jatuh cinta untuk melakukan persembahan di atas pentas sebagai penyanyi.

“Justeru, saya mahu menyebarkan mesej kepada peminat agar jangan berputus asa dengan impian yang ingin anda kecapi,” katanya.

Nadira atau nama asalnya Tengku Nadira Munawarah Tengku Adnan, 19, ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Cinta di Kuala Lumpur semalam.

Nadira mula dikenali selepas menghasilkan single 'Cinta Datang dan Pergi' pada 2015.

Darah seni bagaikan sudah mengalir sejak beliau di dalam kandungan ibunya, Enny Beatrice yang begitu popular di Indonesia pada 1980-an. Enny bersuamikan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Kata Nadira, yang namanya tidak lagi asing di Indonesia, konsert yang dijangka berlangsung hampir dua jam itu bakal menjadi penanda aras karier seninya sebagai penghibur di negara ini.

Untuk itu, anak kelapan dari 10 beradik itu tidak mahu beraksi seorang diri di atas pentas.

Beliau, sebaliknya, turut menjemput beberapa nama besar lain industri hiburan tanahair seperti raja rock Amy Search, Yuna, Noh Salleh dan Joe Flizzow.

“Di konsert itu, saya akan menyanyikan kira-kira 14 lagu termasuk duet yang menampilkan saya bersama idola.

“Nama-nama ini sentiasa terpahat di hati kerana pencapaian mereka sebagai artis di dalam dan luar negara.

“Abang Amy dipilih kerana saya membesar dengan mendengar lagu-lagunya dan yang paling digemari adalah Isabella, Yuna pula menjadi sumber inspirasi kerana dia membanggakan Malaysia di luar sana manakala genre dibawakan oleh Joe dan Noh memang sentiasa menghiburkan,” katanya.

Konsert Cinta yang bersifat seni muzikal itu akan turut menampilkan segmen Nadira bersama teman rapat Al-Ghazali, anak kepada pengasas kumpulan Dewa 19 Ahmad Dhani dan Mia Estianty.

Sementara itu, Amy yang dilihat turut hadir pada sidang media berkenaan berkata, Nadira dilihat bagaikan sebutir bintang yang bersinar dalam dunia hiburan.

Atas alasan itu, dia menerima pelawaan untuk menyumbangkan suara dan bakat di Konsert Cinta yang akan dikendalikan oleh Eddie Slam sebagai pengarah muzik.

“Namanya semakin dikenali di Indonesia, jadi saya berharap perkara yang sama berlaku malah percaya persembahan Nadira boleh melonjakkan namanya dalam industri kita pula,” katanya.