Aktres jelita Rozita Che Wan dilaporkan kehilangan kereta pagi tadi di kawasan kediamannya di Subang Jaya.
Kenyataan itu disahkan oleh pengurus Che Ta - nama yang lebih dikenali untuk Rozita - Afiq Abdul Wahab menerusi aplikasi WhatsApp kepada Malaysiakini hari ini.
Kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WWQ 93 dikatakan hilang kira-kira pukul 4 pagi tadi.
Afiq turut berkongsi berita kehilangan itu menerusi khidmat pesanan ringkas dan Facebook.
“Perhatian! Sesiapa ternampak Velfire warna hitam nombor plat WWQ 93 sila hubungi 012 *** (Afeeq) kerana kenderaan terbabit milik Che Ta yang dicuri oleh insan tidak bertanggungjawab pagi tadi.
“Di harap semua pihak dapat membantu memviralkan.
“Semoga Che Ta dapat semula kereta tersebut terima kasih,” tulisnya.
Semalam ketika ditemui Malaysiakini Che Ta begitu teruja menceritakan mengenai pelantikannya sebagai duta produk dengan pendapatan jualan kira-kira RM80,000 sehari.
“Untuk Gegar Fest yang akan diadakan di Kuala Terengganu pada 26 dan 27 Ogos ini, saya menjadi duta malah berpeluang membuka beberapa reruai (booth) untuk produk jenama sendiri secara percuma dan orang ramai hanya perlu datang bawa diri saja.
“Itu rezeki saya, bayaran diberikan berbaloi untuk dua hari. Selain itu acara berkenaan dijangka membolehkan saya mendapat jualan hingga ratus ribu ringgit,” katanya.
Ketika ini menurut Afiq, keadaan tidak mengizinkan Che Ta untuk mengulas lanjut kepada media mengenai kejadian terbabit.
“Situasi sekarang membuatkan fikiran Che Ta agak serabut dan insya-Allah selepas keadaan reda saya akan memberi maklumat lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Afiq berkata, pelakon itu berada di balai polis berhampiran untuk membuat laporan.
Kereta berkenaan dianggarkan berharga lebih RM200,000.
