Sikap suka mengambil risiko dalam perniagaan belum pernah membuat aktres Rozita Che Wan menanggung kerugian, malah sebaliknya ia mendatangkan pulangan lumayan.

Mengakui sedar kaedah itu amat berbahaya untuk seorang pengusaha sepertinya, Rozita berkata bagi mengurangkan kemungkinan buruk dia tidak lupa mengambil langkah berhati-hati.

“Sepanjang memulakan perniagaan hingga ke hari ini, alhamdulillah saya tidak pernah mengalami kerugian.

“Sudah tentu saya mengambil sikap berhati-hati walaupun pada masa sama gemar mengambil risiko. Ia dibuat kerana saya terlebih dulu sudah mempunyai sasaran jualan," katanya.

Strategi selebriti yang lebih mesra dikenali sebagai Che Ta itu agak mudah.

Jika membuat jualan khususnya di reruai, Rozita menyasarkan semua produk yang dibawa terjual habis.

“Saya akan membawa misalnya 50,000 unit jualan dan akan pastikan ia laris, tak perlu bawa pulang produk lagi kerana ia dapat mengurangkan kos pengangkutan,” katanya.

Rozita ditemui ketika majlis pelantikannya sebagai duta festival fesyen Gegar Fest di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tak mahu terikat

Gegar Fest bakal berlangsung selama dua hari dari 26 hingga 27 Ogos ini di Stadium Negeri di Kuala Terengganu.

Turut akan menjayakan festival berkenaan adalah selebriti seperti Datuk Aznil Nawawi, Dafi, Jihan Muse, Sabhi Sadhi dan Ryzal Jaafar.

Untuk makluman, Rozita kini sedang giat hanya memasarkan produk kecantikan wanita secara atas talian kerana baginya dia tidak mahu terikat dengan kedai.

Hanya jika ada kesempatan, katanya, dia akan menyertai jualan rerurai di acara tertentu.

Menceritakan pengalaman berniaga di reruai, Rozita berkata keuntungan tertinggi pernah diperolehnya untuk tempoh sehari pernah mencecah RM80,000.

Justeru, demi melariskan produk, pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah itu tidak pernah memikirkan taktik keterlaluan seperti aksi lucah demi mengejar keuntungan.

Malah katanya dia tidak mahu produk atau dirinya dianggap murahan.

“Apabila umum melihat kaedah mempromosi menggunakan aksi lucah atau berpakaian mencolok mata maka mereka juga akan menganggap saya seperti tiada harga diri.

“Tidak mahulah kalau kaedah begitu akhirnya mennyebabkan orang ramai melihat saya, atau produk yang dijual sebagai bahan murahan," katanya.