Setelah menikmati pelbagai glamor dalam dunia hiburan penyanyi dan pelakon Ari Wibowo kini tidak kisah mencuci pinggan.
Namun ia bukanlah kerana dia sedang berdepan masalah kemiskinan, sebaliknya selebriti itu sedang menjalankan perniagaan mi di kedainya yang diberi nama Uncle Mao's Modern Asian.
Meskipun menjadi pemilik kedai berkenaan, Ari langsung tidak peduli dibebani tugas yang memerlukan kudrat lebih, seperti membersih atau mencuci pinggan.
Cuma, bab memasak Ari mengaku kalah.
"Kalau memasak itu tidaklah kerana ia bukan kepakaran saya.
"Kalau tentang pinggan kotor, saya sendiri angkat dan cuci hingga bersih," katanya.
Ari, 45, bermula sebagai model dan pernah muncul sebagai pemuzik dan penyanyi melalui kumpulan Cool Colours.
Kemampuannya dalam seni bela diri tae kwan do pula membuka pintu rezeki kepada Ari, 45, untuk terlibat dalam projek lakonan dan sinetron.
Antara filem pernah dibintangi Ari ialah Andartu Terlampau... 21 Hari Mencari Suami dan This Is Cinta.
Mahu jadi contoh
Untuk menjalankan perusahaan kedai mi itu, suami Inge Anugrah tersebut mengambil masa begitu lama untuk memastikan perusahaannya tidak gagal.
"Lama juga untuk mencari rakan kongsi yang sesuai dan kebetulan berjumpa orangnya.
"Dia menguruskan soal akaun dan kelebihan saya pula dalam bidang promosi," katanya.
Menurut Ari, dia berkongsi perniagaan itu dengan tiga rakan lain dan setiap seorang memiliki kelebihan masing-masing.
Dalam keadaan begitu katanya mereka dapat memajukan perniagaan dengan saling melengkapi.
"Ternyata makanan Cina amat popular bahkan di Indonesia juga ia mempungai ramai peminat.
"Pergi ke mana pun sudah ada mi ayam, mi wantan kerana ia menjadi alternatif kepada nasi.
"Kami memberi ruang kepada pelanggan untuk memilih makanannya sendiri," katanya.
Biarpun tugas mencuci pinggan bukan semestinya tergalas pada bahu pemilik, Ari yakin dia perlu sentiasa ringan tulang.
"Saya mahu beri contoh, jangan disebabkan menjadi pemilik tidak perlu buat kerja langsung," katanya.
