Pelakon Amber Heard mengambil keputusan mendermakan keseluruhan wang pampasan perceraiannya bernilai AS$7 juta (RM28 juta) kepada badan kebajikan.

Dalam satu kenyataan Amber berkata wang tidak memainkan peranan penting dalam hidupnya malah keinginan untuk menyumbang kepada pihak yang memerlukan dirasakan lebih wajar.

Amber menyerahkan wang berkenaan khusus buat Kesatuan Pembebasan Sivil Amerika (ACLU) - sebuah pertubuhan untuk wanita yang menjadi mangsa keganasan domestik - dan Hospital Kanak-kanak Los Angeles.

“Seperti dijelaskan dalam perintah dan pampasan perceraian, wang tidak pernah menjadi keutamaan buat saya secara peribadi kecuali untuk pertubuhan amal.

“Dengan berbuat demikian, saya berharap mereka yang kurang berupaya dapat mempertahankan diri mereka.

“Seperti kenyataan media sebelum ini sebanyak mana jumlah wang pampasan yang diperoleh sebanyak itulah yang akan didermakan,” kata Amber seperti dilapor US Weekly.

Rumahtangga Amber dan Johnny Depp akhirnya runtuh selepas berkahwin pada Februari tahun lalu.

Sebelum itu mereka menjalin hubungan istimewa selama tiga tahun.

Bantu wanita bebas dari ketakutan

Amber, 30, pernah membuat laporan polis dan memohon perintah larangan daripada mahkamah untuk menjauhkan Depp yang didakwanya melakukan keganasan domestik.

Depp, 53, bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

“Hubungan kami sentiasa erat ada masanya ia menjadi tidak menentu tetapi sering diikat cinta.

“Tiada pihak yang membuat kenyataan palsu demi mendapat keuntungan kewangan, malah tiada cubaan serangan berbentuk fizikal mahupun emosi," kata mereka dalam kenyataan bersama.

Amber memfailkan perceraian daripada bintang Pirates of the Carribbean pada Mei lalu atas dakwaan aktor terbabit sering melakukan penderaan sepanjang empat tahun tinggal bersama.

Menurut Amber, konflik rumahtangga yang dihadapinya dianggap sudah berakhir namun lega.

Selain terlepas daripada masalah dengan Depp dia bersyukur kerana wang diperolehi membolehkan dia menyumbang kepada badan amal.

"Saya tidak pernah menyumbang sebanyak itu sebelum ini," katanya.

Amber turut berazam untuk memainkan peranan sebagai penderma di masa akan datang.

Dia juga berharap dana berkenaan mampu mengubah ramai orang yang benar-benar dan menjadikan mereka hidup lebih bermakna.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif ACLU Anthony D Romero menyampaikan penghargaan dan berbesar hati dengan wang diberi.

“Kami amat berterima kasih kerana Amber amat bermurah hati menunjukkan sokongannya demi kepentingan dan keperluan mangsa keganasan rumahtangga.

“Amber boleh yakin sepenuhnya pemberian ini akan membantu wanita lain untuk menjamin keselamatan dan bebas daripada penderaan,” katanya.