Namewee direman 4 hari
Namewee - atau nama sebenarnya Wee Meng Chee - ditahan reman selama empat hari selepas polis mendapat kebenaran daripada mahkamah majistret hari ini.
Permohonan reman itu dibuat polis di depan majistret Ahmad Tajudin Zaini di Pulau Pinang.
Ketika perintah tahanan reman itu dibacakan Namewee - yang mengenakan baju T putih dan berseluar jeans biru - kelihatan tenang.
Selepas kira-kira 20 minit dia dibawa menaiki kereta polis dan meninggalkan pekarangan mahkamah kira-kira jam 10.50 pagi tadi.
Dia ditahan sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang kira-kira jam 3.30 petang semalam.
Namewee menaiki pesawat itu dari Taiwan.
Polis memberkasnya untuk membolehkan siasatan dibuat berhubung pembikinan satu klip video muzik memaparkan empat lelaki - termasuk Namewee - menyanyi dengan latar belakang beberapa rumah ibadah.
Masjid adalah satu daripada latar dalam klip video Oh My God berkenaan.

