Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
DBKL buka peluang anak muda pamer bakat muzik

Menyedari minat dan potensi belia dalam bidang muzik, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif menyediakan platform persembahan muzik santai secara percuma di taman-taman awam di ibu kota.

Program dinamakan Jamming In the Park yang pertama kali diadakan mulai petang semalam di Taman Tasik Permaisuri, Cheras turut menyediakan alatan muzik seperti gitar dan dram tanpa sebarang bayaran untuk belia menunjukkan bakat masing-masing.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Ab Salim Mansor berkata sebagai permulaan, program ini akan diadakan sebulan sekali di taman awam yang berbeza, antaranya Taman Tasik Titiwangsa.

Ujarnya, jika ia mendapat sambutan menggalakkan daripada belia, kekerapannya akan ditingkatkan kepada setiap minggu pada Sabtu.

"Buat masa ini, hebahan Jamming In The Park ditumpukan kepada anak muda di kawasan Projek Perumahan Rakyat/Perumahan Awam seliaan DBKL sebagai aktiviti santai yang boleh dilakukan pada waktu senggang.

"Melalui program ini, mereka diberi peluang untuk bermain alat muzik dan menyanyi sehingga satu jam tanpa perlu menyewa studio yang bayarannya sudah tentu mahal," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Mini Konsert Ambang Merdeka KL Street Jam, di Kuala Lumpur malam tadi.

Ab Salim berkata maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati di laman sesawang rasmi DBKL, www.dbkl.gov.my atau menghubungi penerbit Jamming In The Park, Albert Nathar di talian 012-6062122.


- Bernama

Lihat Komen
ADS