Bergerak maju melangkah di bumi asing seperti Amerika Syarikat dan Eropah ternyata tidak menjadikan artis Yuna terlupa erti pengorbanan pejuang kemerdekaan tanah air.

Sempena tarikh keramat 31 Ogos ini Yuna menyeru seluruh rakyat Malaysia menunjukkan semangat kesatuan - tanpa mengira perbezaan latar kaum - demi menghayati makna kemerdekaan.

Bagi Yuna, tema hari kebangsaan tahun ini - Sehati Sejiwa - hanya tinggal sia-sia sekiranya tiada muhasabah dilakukan bagi mengelak runtuhnya perpaduan terbina sekian lama merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita harus melakukan yang terbaik bagi menjaga keharmonian negara agar ia kekal begitu berpanjangan.

“Dulu sebelum sesebuah negara boleh mencapai kemerdekaan, seluruh rakyat harus memfokuskan penyatuan, baru kebebasan itu dapat dicapai,” katanya kepada Malaysiakini.

Yuna ditemui ketika majlis pelancaran koleksi pakaian Nova Floral dengan kerjasama pereka fesyen Hattia Dolmat di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Koleksi berkenaan dipasarkan menerusi kemudahan atas talian fashionvalet.com.

Yuna pada masa sama turut menyatakan kebimbangannya apabila perpaduan antara rakyat negara ini kini dilihat semakin rapuh.

Kata penyanyi yang kini meningkat naik dengan lagu Crush itu, dengan merujuk kepada tema Sehati Sejiwa rakyat wajar mengambil kira nilai kebersamaan melalui toleransi dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Rakyat semakin perlahan-lahan melupakan semangat bersatu padu, justeru kita harus kembali kepada aspek itu.

“Wajarlah rakyat Malaysia memupuk semangat itu semula dengan kesatuan, menyokong dan berbuat baik antara satu sama lain.

“Saya berharap rakyat Malaysia masing-masing prihatin terhadap keluarga, jiran dan rakan anda. Saya sayang kamu semua,” katanya.