Fasa baru buat Saharul Ridzwan
Hari ini bermula satu lembaran baru bagi pelakon Hati Perempuan, Saharul Ridzwan apabila dia selamat bergelar suami dengan sekali lafaz kepada wanita plilihan hati, Qabilaa Deena Amir Mohamed Akif Emir.
Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Deena, Mohamed Akif Emir Ahmad Teruki dalam sebuah majlis yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya jam 9 pagi tadi.
“Alhamdulillah, hari ini bermula satu fasa baru dalam hidup dan saya tidak sabar untuk memikul tanggungjawab dan amanah dengan sebaik mungkin,” kata Saharul menerusi kenyataan kepada media.
Saharul atau nama sebenar Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 27, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 kepada Qabila.
Dia juga menghadiahkan lima dulang hantaran kepada pengantin perempuan dan dibalas dengan tujuh dulang hantaran.
Bagaimanapun, pasangan berkenaan memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran.
Sementara itu, Qabila, 28, turut berkongsi perasaannya sebaik selesai majlis akad nikah.
“Saya berharap perkahwinan ini sentiasa dilimpahi berkat dan rahmat,” katanya.
Majlis diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan terdekat kedua belah pihak.
Pada sebelah petang, majlis resepsi akan mengambil tempat di Dewan Sri Siantan, Putrajaya manakala majlis bersama peminat akan diadakan pada Ahad di Shah Alam.

