Kumpulan muzik legenda yang popular sejak era 1970-an , Blues Gang diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai band blues paling tua di Malaysia.
Walaupun sudah berkecimpung lebih 40 tahun dalam industri, kumpulan berkenaan masih ‘berbisa’ menerusi lagu seperti “Apo Nak Di Kato” dan “Mama Saya Mahu Kahwin”.
Selain Blues Gang, The Strollers diangkat sebagai band pop pertama Malaysia.
Wakil MBOR menyampaikan sijil pencapaian selepas selesai konsert Return of The Legends yang berlangsung di Istana Budaya pada malam kelmarin.
Penganjur konsert, Datuk Seri Mohd Nasser Ismail berkata, pengiktirafan itu diberikan berdasarkan kelayakan kedua-dua kumpulan ‘otai’ yang pernah menjadi perintis genre muzik di Malaysia dan masih aktif sehingga kini.
“The Strollers sudah mula mencipta nama dalam arena muzik sejak 1965 dan sampai sekarang masih lagi aktif membuat persembahan.
“Manakala Blues Gang pula adalah legenda blues tempatan sejak 1973 yang kini masih tiada penggantinya,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Konsert berkenaan diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia.
