Karya tempatan mahupun antarabangsa yang mengetengahkan pandangan mengenai isu global akan ditayangkan pada Festival Filem Freedom 2016 yang dijadualkan berlangsung di Majestic Theatre, Georgetown Pulau Pinang selama dua hari mulai 1 Oktober ini.

Festival itu – yang juga diangkat sebagai acara tahunan - menjadi tempat untuk memperjuangkan hak asasi manusia antarabangsa.

Filem yang akan ditayangkan adalah dipilih secara khusus selain ia menyentuh aspek jantina dan agama; Islam radikal, aktivisme; undang-undang pemilikan tanah serta banyak lagi.

Di festival berkenaan, sebanyak tiga filem tempatan termasuk karya terbaru dari pengarah dan penerbit, Amir Muhammad bertajuk Kisah Pelayaran ke Terengganu akan dipersembahkan.

Manakala dua lagi karya adalah dari peserta yang pernah mendapat anugerah Festival Filem Freedom Grant 2016, Unlocking Bengoh dan Stories from My Father.

Unlocking Bengoh adalah sebuah dokumentari yang mengisahkan kawasan tanah tinggi kaum Bidayuh terjejas disebabkan empangan di Sarawak dan Stories from My Father berkisar mengenai anak perempuan yang perlahan-lahan mengetahui kisah silam bapanya.

Warga Pulau Pinang juga berpeluang untuk beramah mesra dengan pembikin filem dokumentari yang hadir atau menerusi perbualan menggunakan Skype dalam sesi soal jawab selepas selesai tayangan filem.

Festival Filem Freedom dianjurkan oleh Pusat Komsas (Pusat Komuniti Masyarakat) sejak 2003 dan menjadi platform buat penggiat seni khususnya pengarah filem dan aktivis untuk menyiarkan karya mengenai isu hak asasi yang kurang mendapat perhatian.

Menerusi filem, Festival Filem Freedom bertujuan menggalakkan kesedaran sosial, mencetuskan minat dan mengemukakan hujah penting terhadap isu sosial yang berhubung kait dengan manusia di dunia hari ini.