Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lima tahun Anuar Zain kian matang
Diterbitkan:  Sep 20, 2016 2:24 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Demi memastikan rindu peminat padanya dapat diubati dengan berkesan, penyanyi Anuar Zain menghabiskan masa selama lima tahun untuk tampil menerusi album terbarunya.

Mengambil pendekatan berhati-hati Anuar menggunakan masa itu sebaik mungkin dan berhati-hati dari aspek pemilihan lagu hingga ke proses rakaman dan kulit album.

Disiplin, teliti dan sabar menjadi aset terpenting buat Anuar menghasilkan karya segar dan berkualiti bagi mengubati kerinduan peminatnya sejak kali terakhir dia menghasilkan album lima tahun sudah.

“Album ini dihasilkan oleh syarikat saya sendiri," katanya merujuk kepada Anuar Zain Network Sdn Bhd.

Justeru kata penyanyi berusia 46 tahun itu, pihak pengurusan begitu teliti pada setiap proses menghasilkan album berkenaan bagi memastikan ia menjadi produk berkualiti.

Bagaimanapun kata anak kedua daripada lima beradik itu, bukan album terbarunya saja melalui proses sedemikian sebaliknya setiap keluaran memaparkan sisi kematangannya tersendiri.

Cuma satu yang kekal - judul album. Sejak yang pertama hingga kelima album nyanyian adik Ziana Zain itu tetap menggunakan judul sama: Anuar Zain.

Album itu dilancarkan di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam, turut mendapat tajaan beberapa syarikat korporat dan dikatakan menelan belanja ratusan ribu ringgit – termasuk kos sesi fotografi menggunakan helikopter sebagai hiasan bagi kulit album.

Daripada lapan lagu termuat dalam album terbaru Anuar itu, empat adalah ciptaan komposer tempatan manakala selebihnya mendapat sentuhan daripada penggubah dari Indonesia.

Beberapa buah lagu dimuatkan dalam album turut menggunakan khidmat orkestra dari Prague, Republik Czech dan Budapest, Hungary.

Antara lagu yang terkandung dalam Anuar Zain kali ini ialah Kembali, Andainya Takdir, Cinta Takkan Berakhir, Karena Aku Cinta, Belahan Hati dan Hujan.

Selain melancarkan album, Anuar atau nama asalnya Shahrul Anuar Zain yang sebelum ini terkenal menerusi lagu Keabadian Cinta dan Lelaki Ini turut ‘menghadiahkan’ klip video Andai Takdir khas buat peminatnya.

Menurut Anuar, dia sendiri mencetuskan idea untuk menghasilkan video sebelum digarap pengarah Amor Rizan.

“Saya berterima kasih kepada semua tenaga produksi yang komited menghasilkan muzik video dan memberikan hasil kerja bermakna buat saya serta syarikat," katanya.

Muzik video Andai Takdir yang boleh ditonton menerusi YouTube mulai hujung minggu ini itu. Ia turut dibintangi Sharifah Sakinah, Puteri Balqis Azizi, Hafidzuddin Fazil, Eymra Hazali dan Syafiq M Nazri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS