Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Perbanyakkan bersabar menghadapi ujian hidup sebagai pelakon - itu nasihat ibu Atikah Suhaimie ekoran tersebar gambar bogel didakwa imej pelakon sedang meningkat naik itu.

Mendakwa tidak gugup dengan 'ujian' begitu Atikah memberitahu ibunya melihat sendiri gambar berkenaan.

"Ibu menasihati saya supaya tidak mengambil endah perkara berkenaan, malah memberitahu ia adalah asam garam yang perlu dihadapi seorang pelakon," katanya kepada media hari ini.

Atikah ditemui pada majlis tayangan perdana filem seram Volkswagen Kuning - yang diinspirasi daripada kisah benar - di Petaling Jaya hari ini.

Filem ke-115 terbitan Metrowealth MiG itu diarah oleh Shadan Hashim dan idea asal diilhamkan Raja Azmi Raja Sulaiman.

Antara pelakon Volkswagen Kuning adalah Pekin Ibrahim, Shahronizam, Azman Hasan dan Mak Jah.

Baru-baru ini gambar didakwa Atikah bersama seorang pelakon lelaki di atas ranjang tersebar melalui Internet.

Atikah juga berkata dia tidak pernah atau mahu melihat gambar berkenaan.

Namun dia menegaskan wanita dalam gambar berkenaan bukanlah dirinya.

Gambar itu dikatakan beredar sehari sebelum sambutan Aidiladha lalu.

Sesetengah pihak menuding jari mendakwa ia adalah gambar Atikah, 25, bersama Idris Khan, 28.

Buat masa ini kata Atikah apa yang terbaik untuknya adalah menyerahkan perkara berkenaan kepada tauke syarikat penerbit filem itu, David Teo.

Ditanya mengapa begitu pilihannya, Atikah berkata dia yakin kepada pihak pengurusan dan menyerahkan isu berkenaan untuk ditangani mereka.

Mengakui spekulasi itu menjejaskan periuk nasinya sebagai pelakon kelahiran Singapura itu bagaimanapun beranggapan dirinya tidak terlepas daripada ujian dan cabaran.

"Saya tidak terkejut kerana ini adalah kali kedua isu begitu timbul selepas diperkatakan tahun lalu.

"Bukan saya seorang pernah terpalit isu gambar lucah. Ada beberapa artis lain juga pernah menghadapinya dan terpaksa berdepan perkara itu," katanya.

Tahun lalu umum digemparkan apabila video lucah didakwa membabitkan pelakon Ammar Alfian, Idris dan Atikah tersebar.

Bagaimanapun, ketika itu tiada sebarang bukti visual ditemukan sementara ketiga-tiga pelakon menafikan perkara terbabit.

Lihat Komen
ADS