Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Angelina Jolie fail perceraian dengan Brad Pitt
Diterbitkan:  Sep 21, 2016 12:33 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

Mahligai perkahwinan dibina selama dua tahun akhirnya runtuh selepas aktres Angelina Jolie memfailkan perceraian dengan suaminya Brad Pitt.

Peguam Angelina, Robert Offer dalam kenyataannya semalam menjelaskan aktivis kemanusiaan itu merekodkan perpisahan itu sebagai “pembubaran perkahwinan”.

Menurutnya, keputusan diambil bintang Tomb Raider itu dibuat demi kebaikan keluarga.

"Dia (Angelina) tidak akan mengeluarkan sebarang komen selain meminta keluarganya diberikan ruang untuk membiarkan keadaan kembali reda," katanya seperti dilapor BBC.

Pasangan yang diberi julukan Brangelina oleh peminat itu menjalin hubungan sejak 2004 tetapi hanya berkahwin 10 tahun kemudian pada Ogos.

Ini adalah perkahwinan kedua buat Brad selepas Jennifer Aniston manakala yang ketiga bagi Angelina.

Angelina sebelum ini pernah berkahwin dengan Billy Bob Thornton dan Jonny Lee Miller.

Sementara itu, menurut laporan TMZ – laman sesawang hiburan AS – Angelina memberi alasan “perbezaan tidak dapat diatasi” pada dokumen perceraian selain secara rasmi bukan lagi pasangan suami isteri sejak 15 September lalu.

Difahamkan Angelina kini sedang menuntut hak penjagaan ke atas keenam-enam anaknya selain memohon hakim membenarkan Brad melawat anak mereka.

Sepanjang menjalin hubungan, pasangan berkenaan pernah mengambil tiga anak angkat iaitu Maddox, Pax, Zahara.

Angelina, 41 dan Brad, 52, juga mempunyai tiga anak kandung Shilox, Knox dan Vivienne (kembar).

Pada 2014, pasangan berkenaan melangsungkan perkahwinan dalam sebuah majlis tertutup di Provens.

Masalah rumah tangga

Angelina yang sememangnya terkenal kerana melakukan kerja amal pernah berkhidmat sebagai duta membela nasib pelarian bawah Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama 11 tahun sebelum dilantik menjadi duta khas pada April 2012.

Semasa mempromosi By the Sea, sebuah drama romantik melibatkan pasangan berkenaan, Angelina mendedahkan dia dan Brad mempunyai ‘isu.’

Karya itu ditulis dan diarahkan Angelina sendiri.

“Kami bergaduh dan mempunyai masalah seperti pasangan lain. Ada harinya kami menyebabkan satu sama lain begitu marah hingga memerlukan ruang.

“Bagaimanapun, masalah yang dipaparkan dalam filem tidak menggambarkan isu sebenar dihadapi kami,” katanya.

Laura Wasser, peguam yang pernah menguruskan kes perceraian berprofil tinggi seperti Johnny Depp, Kim Kardashian, Stevie Wonder dan Britney Spears dilaporkan akan mewakili Angelina.

Hubungan Angelina dan Brad mulai diketahui umum selepas bersama-sama bergandingan dalam Mr & Mrs Smith yang ditayangkan pada 2005.

Angelina, anak kepada aktor veteran Jon Voight dan aktres Marcheline Bertrand meningkat popular selepas membarisi filem seperti The Bone Collector dan Girl Interrupted yang membuatkannya memenangi anugerah Oscar sebagai pelakon pembantu terbaik (1999).

Dia kemudian membintangi filem bersiri Lara Croft in the Tomb Raider dan muncul sebagai dalam Changeling, Salt, A Mighty Heart, Wanted dan Maleficient.

Angelina juga pernah mengarah filem memaparkan kisah banduan perang dunia kedua Unbroken.

Brad pula pernah membuat kemunculan dalam Thelma dan Louise yang dilakonkan Susan Sarandon dan Geena Davis pada awal kariernya.

Nama Brad mulai terkenal selepas membintangi Fight Club, Ocean’s Eleven, World War Z, Snatch dan The Curious Case of Benjamin Button.

Antara karya pernah diterbitkan Brad adalah 12 Years A Slave yang pernah diikitiraf sebagai filem terbaik Oscar pada 2014 dan The Big Short yang juga turut dibarisinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS