Dua karya A Flower’s Eyes dan Bunga Raya berkongsi tempat pertama dalam pertandingan filem pendek anjuran kumpulan pendidikan Cina, Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG baru-baru ini.

Pertandingan itu berlangsung dengan “Hidup Berbilang” dijadikan sebagai tema.

A Flower's Eyes dihasilkan Tham Wai Fook dan Foo Mee Teng dari Rompin, manakala Bunga Raya oleh diilhamkan Ma Onn Ny, bekas pelajar Kolej New Era.

Dalam majlis berkenaan, Tham berkata, filemnya mengetengahkan suasana tenang dan kemesraan pelajar dan ibu bapa, selain keperluan berhadapan kerenah pelbagai kaum.

Bunga Raya pula menceritakan ketegangan yang dirasai apabila pilihan hati seorang perempuan bakal mencetuskan konflik dengan keluarganya.

Pensyarah filem Leong Yew Sen dan pengarah filem Amir Muhammad menjadi juri bagi acara itu.

Menurut juri, A Flower's Eyes memberi peluang kepada kepada umum untuk memikirkan kemungkinan lain mengenai kemajmukan budaya.

Filem Bunga Raya pula menunjukkan idea mengenai budaya dan hubungan sesama manusia yang dihuraikan dengan konkrit dan jujur tanpa perlu ada elemen propaganda.

Pertandingan tersebut diadakan sempena ulang tahun ke-60 Peringatan Penyampaian Perutusan “Persoalan Pembinaan Jiwa” Lim Lian Geok, seorang tokoh aktivis terpenting masyarakat Cina selepas merdeka.

Ia dianjurkan dengan kerjasama NGO Islam Pertubuhan Ikram Malaysia, Yayasan Tamil dan Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS).