Aktor berbadan sasa Daniel Craig disebut-sebut sebagai pilihan utama yang akan memegang watak ejen rahsia polis British dalam filem James Bond terbaru.

Menurut seorang daripada penerbit eksekutif filem berkenaan, Callum McDougall, perkara itu turut dinyatakan penerbit naskhah bersiri berkenaan, Barbara Broccoli dan Michael G Wilson.

“Saya tahu mereka begitu mengharapkan dia (Craig) untuk kembali,” katanya dalam sebuah wawancara Program Radio 4.

Memetik laporan BBC, Studio Pinewoods di Buckinghamshire, lokasi penggambaran bagi kebanyakan filem Bond menyambut ulang tahun pembukaan yang ke-80 semalam.

Kemudahan disediakan oleh studio berkenaan menjadi sebahagian daripada kesinambungan industri filem sejak ia dibuka pada 1936.

Craig, 48, muncul buat pertama kali dalam Bond menerusi Casino Royale (2006).

Dia kemudian kembali tampil dalam Quantum of Solace (2008), Skyfall (2012) dan Spectre (2015).

Namun, hingga kini Craig dikatakan masih belum membuat sebarang keputusan hingga mencetuskan spekulasi beberapa nama pelakon yang bakal menggantikannya.

Ketika McDougall ditanya nama aktor yang bakal menjadi James Bond seterusnya, dia hanya menjawab: “Diharap saya tahu.”

Bagaimanapun, McDougal menegaskan watak berkenaan “pasti” untuk Craig supaya dia boleh meneruskan lagenda mata-mata sebagai Ian Fleming.

Studio Pinewood diasaskan apabila taikun Charles Boot, seorang jurubina yang mempunyai cita-cita dalam perfileman membeli Dewan Heatherden dan estatetnya pada 1934.

Setahun kemudian, Boot bertemu J Arthur Rank dan kedua-duanya menjadi rakan kongsi projek hingga berjaya menerbitkan filem pertama London Melody pada 1936.

Filem Bond sering dikaitkan dengan Studio Pinewood, sejak karya pertama dihasilkan Dr No (1962).

Selain Bond, Studio Pinewood turut menghasilkan Superman, Star Wars, Harry Potter dan Carry On.