Rekod dunia tukar pakaian 19 kali dalam seminit
Dua ahli silap mata Malaysia mencatat nama dalam Guinness World Records kerana berjaya membuat pertunjukan menukar pakaian terbanyak dalam tempoh seminit.
Sepanjang tempoh 60 saat itu pasangan Avery Chin dan Sylvia Lim mempersonakan orang ramai dengan menukar 19 pakaian sebanyak 18 kali.
Mereka mencatat rekod dunia itu dengan kelebihan dua pakaian.
Laman sesawang rasmi Guinness World Records menyatakan persembahan itu diadakan di Taman Tema Happy Valley, Wuhan, China.
Ia berlangsung menjelang cuti umum negara berkenaan.
Pengurusan taman tema itu dikatakan menjemput ramai ahli silap mata dari pelbagai negara untuk mengadakan persembahan di sana.
Chin dan Lim mencatat rekod baru dunia itu pada Rabu lalu.
Antara syarat ditetapkan untuk mengesahkan rekod berkenaan ialah, mereka tidak boleh mengenakan sesuatu pakaian lebih daripada sekali.
Ia juga mesti dikenakan pada badan sepenuhnya.
Detik pertukaran terakhir dianggap paling dramatik apabila Chin menuang cebisan kertas berkilauan ke atas kepala Lim dan pakaiannya - daripada berwarna biru - bertukar menjadi gaun putih.
Pemegang rekod terdahulu ialah juga pasangan Malaysia dan dilakukan di Kuala Lumpur beberapa minggu lalu.

