Siapa sangka, Man Kidal yang terkenal dengan petikan gitar menggunakan tangan kiri, kini bakal merakamkan lagu solonya yang pertama.
Selepas 37 tahun bergelar "Otai", Man Kidal berkata dia kini dalam proses rakaman sebuah lagu yang dijangka siap tahun hadapan.
"Insya Allah saya akan menyanyi tahun hadapan. Kini saya sedang dalam proses buat lagu solo," katanya kepada ProjekMMO.
Man Kidal, atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood, 53 menganggotai kumpulan rock legenda Lefthanded pada 1979 dan petikan gitar menggunakan tangan kiri mencetuskan fenomena tersendiri.
Selain bermain gitar, ikon bagi rockers tanah air itu juga pernah menghasilkan lirik untuk Lefthanded seperti “Lanun”, “Kenangan Bersamamu” dan “Perjalanan Cinta Abadi”.
Dia juga pernah mengangotai kumpulan Search dan sempat merakamkan album Cinta Buatan Malaysia bersama gergasi rock itu pada 1985.
Man Kidal berkata dia sudah lama teringin untuk menyanyi tetapi tidak mempunyai keyakinan kerana lebih selesa memetik gitar.
"Zaman selepas berkahwin dahulu, saya ada menyanyi tetapi ada sejarahnya yang membuatkan saya tidak mahu menyanyi.
"Saya tidak nampak bakat dalam bidang nyanyian tapi saya akan cuba buat satu lagu khas buat peminat dan biarlah mereka menilainya.
“Kalau tidak sedap, jangan merungut," katanya berseloroh, selepas pelancaran piring hitam “Keadilan” Lefthanded Selasa lalu.
Katanya, peminat boleh mendengar lagu berkenaan yang akan dikongsi di laman webnya, My Legend.
“Insya Allah lagu ini akan dimuat naik pada 1 Januari 2017, satu Malaysia boleh mendengarnya," kata Man Kidal.
Walaupun lebih dikenali melalui bakat kidalnya, pemuzik itu sebenarnya berkebolehan bermain gitar menggunakan tangan kanan.
"Saya boleh main gitar menggunakan tangan kanan, cuma tidak diamalkan. Bagi saya, cukup guna tangan kiri sebab nampak lebih unik.
"Lagipun kidal sudah sebahagian daripada jiwa saya dan saya pun dilahirkan kidal, saya menulis pun guna tangan kiri," katanya.
