Pelawak Harith Iskander antara 20 calon yang tersenarai ke peringkat separuh akhir bagi merebut gelaran pelawak antarabangsa bagi pertandingan Funniest Person In The World yang akan diadakan di Helsinki, Finland.
Harith memaklumkan berita gembira itu menerusi aplikasi pesanan ringkas kepada Malaysiakini.
“Saya berjaya memasuki peringkat separuh akhir yang akan diadakan di Finland pada 5 Disember nanti,” tulisnya.
Setiap negara berpeluang menghantar sebanyak dua wakil untuk berentap dengan calon-calon dari 56 buah negara antaranya Australia, Jerman, Indonesia, Jepun, Brazil dan Agentina pada peringkat pertama.
Untuk layak ke peringkat separuh akhir, peserta dikehendaki menghantar sebuah klip video ke laman sesawang pertandingan itu agar ia boleh dinilai oleh peminat yang terdiri dari penonton dari seluruh dunia.
Seorang lagi pelawak yang mewakili Malaysia dalam pertandingan dianjurkan Laugh Factory itu adalah Dr Jason Leong.
Mengikut format dibuat penganjur setiap negara boleh menghantar dua wakil namun hanya seorang - yang mendapat undi tertinggi - terpilih ke pusingan seterusnya.
Menerusi semakan Malaysiakini setakat petang ini, Harith mengalahkan pesaing dari negara sendiri dengan jumlah kutipan 2,651,918 melalui sistem undian Indi buzz.
Tarikh undian peringkat pertama dibuka pada 2 September dan ditutup pada 6 Oktober lalu. Undian peringkat kedua - di capaian baru - pula sudah bermula dan Harith bersaing dengan dengan 19 pelawak lain dari seluruh dunia.
Ia akan diadakan pada 5 Disember ini di Helsinki.
Untuk peringkat separuh akhir pula, tidak seperti sebelumnya, Harith memberitahu kali ini dia perlu ‘beraksi’ pada 5 Disember selepas mendapat jemputan ke Helsinki.
“Saya akan membuat persembahan secara langsung di hadapan pengadil dan kemudian, lima peserta dinilai untuk memasuki peringkat akhir,” katanya.
Juga bertempat di Helsinki, lima peserta peringkat akhir dijangka membuat persembahan di hadapan penonton selain ia disiarkan secara langsung menerusi YouTube.
Pemenang hadiah utama dengan undian paling tinggi dapat membawa pulang wang AS$100,000 (RM400,000) selain berpeluang mengadakan persembahan jelajah di Amerika Syarikat secara berbayar.
