Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dalam sakit, Yazid mengeluh dituduh minta sedekah

Belum pun krisis bersama anggota lain Search reda, timbul pula cakap belakang mengatakan pemain dram kumpulan itu Yazid meminta ihsan orang lain seperti peminta sedekah.

Bercakap kepada Malaysiakini, Yazid dengan nada kesal meluahkan dia bukanlah seperti yang didakwa oleh mana-mana pihak.

“Dalam keadaan saya yang begini, ada juga pihak menuduh yang bukan-bukan dengan pekerjaan dilakukan sekarang,” katanya.

Yazid yang menderita masalah buah pinggang pernah terlantar di Hospital Ampang kerana sakit pada Ogos tahun lalu.

Baru-baru ini Malaysiakini melaporkan Yazid bercadang untuk menyaman empat anggota Search yang lain iaitu Amy (vokalis), Hamzah (gitar utama), Noordin (gitar) dan Nasir (bes) berhubung Konsert Search 35 Tahun yang sepatutnya berlangsung pada 30 Ogos lalu.

Sehari sebelum itu pula, syarikat penganjur bersama konsert itu Afjets Sdn Bhd memfailkan saman hampir setengah juta ringgit terhadap empat anggota kumpulan berkenaan.

Menurut Yazid, pembatalan Kosert Search 35 Tahun itu dirasakan amat mengecewakan selain merugikan diri masing-masing.

Meskipun bergelut dengan kesihatan, Yazid berkata dia masih berkeupayaan untuk turun padang demi mencari pendapatan melalui hasil usaha sendiri.

“Ada beberapa individu dan persatuan yang menawarkan bantuan untuk menubuhkan tabung bantuan, tetapi saya meminta sebolehnya jangan meminta derma kerana takut nanti disalah tafsir.

“Saya mencari wang dengan mengadakan persembahan di kelab motor atau atas undangan sesuatu majlis selain menjual cenderamata misalnya kayu dram dan baju.

“Kalau benar-benar ingin membantu, belilah,” katanya yang berhasrat untuk tampil dengan sebuah album baru dengan kumpulan Rampage selepas 15 tahun menyepi.

Lihat Komen
ADS