Kerana jerawat, Saharul tak dapat jadi model
Amat sedih dan kecewa, perasaan itulah yang singgah di hati pelakon Saharul Ridzwan apabila cubaannya menjadi model ditolak mentah-mentah kerana wajahnya yang tidak menepati cita rasa wakil agensi pengiklanan.
Kejadian itu kata Saharul berlaku sekitar tahun 2006 - sewaktu kali pertama dia mencuba nasib untuk menceburkan diri dalam bidang peragaan.
Malahan, pelakon Hati Perempuan itu menganggap dirinya dipandang hina apabila kekurangan fizikal menyebabkan dia diusir dari syarikat terbabit dengan cara yang agak kasar dan keras.
“Pada masa dulu memang keadaan wajah saya begitu teruk dengan jerawat dan badan yang kurus kering.
“Apabila tiba di agensi berkenaan saya dimarahi kerana berani muncul di tempat itu dalam keadaan tidak pandai menjaga badan dan muka,” katanya.
Saharul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 27, ditemui pada majlis pelancaran Estetika Medispa Shah Alam petang semalam.
Bagaimanapun, semangat aktor yang pernah memenangi tempat ketiga pertandingan Hero Remaja 2012 itu tidak pernah pudar biarpun dikeji dan diaibkan sedemikian rupa.
Katanya, dia seorang lelaki yang gemar membuktikan kritikan orang lain padanya adalah salah.
“Walaupun dikutuk, saya tidak mahu mengalah sebaliknya semakin bersemangat kerana saya memang seorang yang pantang dicabar.
“Sejak itu saya sering memastikan penampilan dijaga sebaik mungkin,” katanya.

